Sunday 2 March 2014

Askar Zionis tembak mati wanita tak siuman



Gaza: Seorang wanita tidak siuman ditembak mati oleh askar Israel awal semalam. Rejim Zionis mengesahkan askarnya melepaskan tembakan itu berhampiran pagar sempadan di kawasan Khazaa di Khan Yunis.

“Mayat Amena Atiyyeh Odeih, 57, ditemui berhampiran pagar sempadan dan kami masih belum dapat membawanya keluar dari kawasan itu kerana tentera Israel masih melepaskan tembakan,” kata seorang jurucakap kementerian kesihatan Palestin.

Jurucakap rejim Zionis berkata, wanita itu enggan berundur walaupun selepas tembakan amaran dilepaskan.

“Ia menyebabkan anggota kami menembaknya,” kata jurucakap itu.

Menurut jiran mangsa, wanita berkenaan tidak siuman.

Kejadian berlaku selepas sebuah pesawat Zionis mengebom kawasan yang disyaki tempat melancar roket di utara Gaza.

Ketegangan meningkat di sekitar Gaza sejak kebelakangan ini selepas setahun tenang.

Peningkatan serangan Israel dan tembakan roket oleh pejuang Palestin mencetuskan kebimbangan kemungkinan konflik baru meletus antara rejim Zionis dengan kerajaan Hamas yang mentadbir Gaza.

- AFP