Netanyahu makin bongkak
Netanyahu (tengah) menunjukkan simbol tiga jari tanda beliau kekal bagi tiga penggal berturutturut sebagai Perdana Menteri Israel. - Foto oleh AFP.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilihat semakin bongkak selepas memenangi pilihan raya umum negara itu baru-baru ini.
 
Pada kempen terakhirnya sebelum hari pengundian, pemimpin berusia 65 tahun itu berikrar untuk tidak mengiktiraf pembentukan negara Palestin dalam usahanya meraih sokongan pengundi.
 
Kemenangan kali ini menyaksikan beliau mengekalkan jawatannya untuk penggal ketiga berturut-turut.
 
Bagi penganalisis politik dari Ohio, Mark Glenn, beliau percaya kemenangan Parti Likud hanya melambatkan lagi usaha damai Israel-Palestin berdasarkan apa yang diucapkan pemimpin itu sepanjang kempen politiknya.
 
"Awal-awal lagi Netanyahu tiada komitmen untuk mengadakan atau meneruskan rundingan damai dengan pihak Palestin.
 
"Jadi selepas ini dia mungkin mengambil pendekatan lebih sombong terhadap rakyat Palestin berikutan kemenangannya itu," ujar Glenn.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata, AS akan menilai semula hubungannya dengan Israel selepas Netanyahu menolak idea sebuah negara Palestin.
 
"Hubungan Washington- Tel Aviv perlu dinilai semula selepas Netanyahu jelas menolak penyelesaian konflik di rantau itu," kata jurucakap Rumah Putih, Josh Earnest. - Press TV