Sunday, 3 April 2016

Israel halang 100 atlet Gaza sertai maraton

SABTU, 2 APRIL 2016 @ 10:20 AM

PELARI, Nader Masri. - Foto AP

BANDAR RAYA GAZA: Lebih 100 atlet dari Gaza terlepas peluang mengambil bahagian dalam Maraton Palestin keempat di Baitulahan, selepas Israel enggan memberikan permit kepada mereka untuk memasuki Semenanjung Gaza yang dikepung. Penganjur mengecam tindakan itu sebagai 'pelanggaran terang-terangan' undang-undang antarabangsa mengenai kebebasan bergerak. Antara 103 atlet yang menjadi mangsa ialah pelari Nader Masri, yang mewakili Palestin pada kejohanan Olimpik 2008 di Beijing. Turut menjadi mangsa adalah anggota kumpulan kempen, Right to Movement dan Right to Play, badan penganjur acara itu, bersama-sama Jawatankuasa Olimpik Palestin. Ia adalah kali ketiga kejadian itu berlaku, menurut agensi berita WAFA. Dalam kejohanan maraton pertama dan kedua yang diadakan pada 2013 dan 2014, Israel enggan memberi kebenaran kepada atlit menyertai acara sukan. Pada 2015, rejim itu cuma membenarkan sebilangan kecil atlit Palestin menyertainya. Acara simbolik ialah maraton sejauh 42 kilometer yang dianjurkan setiap tahun bagi membantah sekatan ke atas pergerakan dilaksanakan rejim Zionis di seluruh wilayah diceroboh itu. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139739

Pertikai cara penahanan Tentera Israel bunuh pemuda Palestin


AGENSI - GAMBAR rakaman menunjukkan anggota tentera Israel (dalam bulatan) berkenaan sebelum dia menghampiri lelaki Palestin tersebut dan menembak kepalanya dari jarak dekat di bandar Hebron pada 24 Mac lalu.


BAITULMUQADDIS – Seorang tentera Israel yang dirakam menembak mati suspek penyerang Palestin akan terus ditahan di pangkalan tempat dia bertugas sehingga sesi perbicaraan mahkamah berikutnya, kata sebuah mahkamah tentera kelmarin.
Satu sidang baharu mahkamah rayuan tentera dijadualkan berlangsung Selasa ini, jelas tentera Zionis dalam satu kenyataan akhbar.
Keputusan untuk menempatkan tentera itu di bawah tahanan di pangkalan tersebut dilihat kurang serius berbanding menahannya di penjara tentera.
Tindakan itu menyusul selepas keputusan memihak kepada anggota terbabit Khamis lalu apabila pendakwa raya tentera mengumumkan tentera berusia 19 tahun itu akan disiasat kerana membunuh tanpa niat dan bukan pembunuhan terancang.
Di bawah undang-undang Israel, membunuh tanpa niat merujuk kepada perbuatan yang disengajakan tetapi tidak dirancang lebih awal.
Rakaman tersebut menunjukkan anggota tentera yang dirahsiakan identitinya itu menembak mati suspek Pa­lestin terbabit dari jarak dekat di bandar Hebron di Tebing Barat pada 24 Mac lalu.
Video dirakam seorang sukarelawan Palestin, B’Tselem itu menunjukkan Abdul Fatah al-Sharif, 21, bersama seorang lelaki lain yang dituduh menikam seorang tentera terbaring di tanah selepas terkena tembakan.
Seorang anggota tentera Zionis kemudian datang menembak Abdul Fatah di kepala tanpa sebarang provokasi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz44iWFUnCG 
Hakcipta terpelihara