Saturday 20 July 2013

Kepungan di Gaza jenayah melampau
Terowong Gaza turut digunakan untuk membawa haiwan ternakan.
GAZA - Kumpulan Pergerakan Palestin Al-Ahrar menganggap keputusan Mesir untuk terus merobohkan terowong antara Gaza dan negara itu dianggap sebagai jenayah kemanusiaan.

Jurucakap Al-Ahrar berkata, terowong itu adalah salah satu ‘talian hayat utama’ kepada penduduk Palestin di Gaza sejak rejim Zionis mengetatkan laluan keluar pada 2006 hingga sekarang.

“Kami menggesa Mesir tamatkan pengepungan di Gaza dan mencari alternatif supaya laluan Rafah di buka semula,” katanya.

Sementara itu, Kumpulan Hak Asasi Manusia Antarabangsa menyelar keputusan Mesir dan menganggap tindakan itu sebagai tidak berasas.

“Rakyat Palestin di Gaza tidak terlibat dalam hal ehwal dalaman Mesir tetapi mengapa mereka menjadi mangsa,” kata jurucakapnya kepada PIC.

Minggu lalu, Jeneral Angkatan Tentera Mesir mengarahkan semua terowong antara Gaza dan Mesir dirobohkan sebelum operasi keselamatan bersepadu di Sinai bermula.

Rundingan perlu ikut garis sempadan 1967

Rundingan perlu ikut garis sempadan 1967
Mahmoud mengadakan rundingan bersama pemimpin Palestin berhubung cadangan pelan damai AS di ibu pejabat Fatah di Ramallah, kelmarin. Foto: EPA
RAMALLAH - PALENSTIN. Palestin menuntut kandungan pelan damai Timur Tengah dicadangkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) diubah berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat di sini, kelmarin.

Dipetik Middle East Online, Setiausaha Agung Majlis Revolusi Gerakan Fatah, Amin Maqbul berkata, mereka mahu melakukan beberapa perubahan kerana idea yang dicadangkan beliau tidak menggalakkan usaha untuk kembali ke meja rundingan.

"Jawatankuasa pusat sebulat suara mahu rundingan damai Palestin-Israel ini diadakan mengikut garis sempadan 1967," jelasnya.

Pengumuman itu dibuat selepas Kerry mengadakan rundingan intensif dua pusingan bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, awal minggu lalu.

Sebelum ini, usaha AS untuk menjadi orang tengah bagi menyambung semula rundingan damai tidak berjaya selepas Israel enggan mematuhi syarat ditetapkan oleh Palestin supaya membebaskan tahanan dan membekukan projek penempatan haram mereka.

Rabu lalu, Ketua Liga Arab, Nabil al-Araby dan diplomat kanan Teluk Arab turut menyokong usaha Kerry untuk menjayakan rundingan semula tersebut selepas ia tertangguh sejak tiga tahun lalu.