Baitulmaqdis: Beratus-ratus warga emas Palestin dari Gaza semalam mengunjungi Masjid al-Aqsa, masjid ketiga paling suci umat Islam selepas rejim Tel Aviv mengendurkan sekatan sempena cuti sambutan Aidiladha.
Ini kali pertama penduduk dari Gaza dibenar melawat masjid berkenaan sejak 2007.
Langkah mengendurkan sekatan itu diumumkan Israel sebulan selepas gencatan senjata menamatkan perang 50 hari di Gaza yang menyebabkan hampir 2,200 penduduk Palestin terbunuh.
Menurut syarat perjanjian, Israel bersetuju mengendurkan sekatan terhadap pergerakan penduduk Palestin.
Dalam kenyataannya, rejim itu berkata, ia memberi permit kepada 500 penduduk Gaza berusia 60 tahun ke atas untuk mengunjungi Masjid al-Aqsa dan perkarangannya dan mereka hanya dibenarkan untuk berada di situ hingga jam 3 petang (waktu tempatan) sebelum dibawa pulang ke sempadan Gaza.
Ramai penduduk Palestin di Gaza sudah sekian lama tidak melawat masjid itu sehingga ada yang mengucup lantai perkarangan masjid berkenaan sebaik menjejakkan kaki mereka.
- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06