Tuesday 18 March 2014

Palestin bantah catuan makanan PBB

Palestin bantah catuan makanan PBB
Penduduk melakukan protes di pejabat UNRWA di Gaza. 
18 Mac 2014

 GAZA - PALESTIN. Pencatuan program makanan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNRWA) menyebabkan ribuan pelarian Palestin kelaparan.

Susulan itu, ratusan pelarian berhimpun di luar pagar UNRWA di Gaza City dengan membawa periuk belanga mengadakan protes terhadap catuan tersebut.

Sebelum ini, UNRWA menyediakan makanan, pendidikan dan perkhidmatan asas lain untuk pelarian Palestin di wilayah Palestin dan di kem-kem pelarian Palestin di Syria, Lubnan dan Jordan.

Namun, beberapa bulan kebelakangan ini, organisasi itu mengurangkan bantuan makanan buat keluarga di Gaza.

Jawatankuasa pelarian Shukri al- Arouqi berkata, kini hanya 65 peratus  bantuan makanan segera disalurkan kepada mereka.

“Bajet untuk program makanan ini kira-kira AS$16 juta (RM52 juta) setahun tahun. Mengapa mereka tidak menggunakan wang itu untuk membeli makanan lebih,” katanya.

Lebih daripada 800,000 rakyat Palestin di Gaza menerima bantuan makanan UNRWA, termasuk bakul makanan, tepung, beras, gula dan minyak.

Bagaimanapun, UNRWA melaporkan, hanya 57 peratus isi rumah di Gaza, atau kira-kira 1.04 juta orang sahaja yang memerlukan bantuan makanan.