Monday, 20 June 2016

Arafat mungkin dibunuh ejen Israel guna racun polonium

AHAD, 19 JUN 2016 @ 4:50 PM


GAMBAR fail, Yasser Arafat. - Foto AFP


PARIS: Mahkamah Perancis menangguhkan keputusan sama ada untuk membuka semula siasatan berhubung kematian pemimpin veteran Palestin, Yasser Arafat, yang meninggal dunia pada 2004, sehingga 24 Jun atau 8 Julai ini.

Keputusan dibuat di tengah kemuncak kecurigaan bahawa ejen Israel membunuh pemimpin itu menggunakan keracunan polonium. Pada 2012, balu Arafat, Suha, memfailkan aduan selepas kesan polonium, bahan radioaktif beracun, ditemui pada barangan peribadi Arafat.

Arafat koma dan meninggal dunia pada 11 November 2004, pada usia 75 tahun, selepas mengalami loya, masalah perut teruk dan isu berkaitan usus. Beliau mula jatuh sakit pada 12 Oktober 2014 walaupun sebelum itu disahkan sihat.

Hospital di Perancis yang merawat beliau mengesahkan punca kematian disebabkan serangan angin ahmar dicetuskan keracunan darah.

Kematian Arafat konsisten dengan keracunan polonium yang menyebabkan tubuh semakin teruk secara perlahan, berakhir dengan kematian dalam masa beberapa minggu atau bulan. Mangsa akan mengalami loya, muntah, cirit-birit dan keguguran rambut.

Pada Khamis, hos rancangan Loud & Clear, Brian Becker, berbincang dengan Dr Ghada Talhami dari Kolej Lake Forest untuk meneliti bukti kematian Arafat.

"Kita tahu Suha Arafat berjaya dalam meyakinkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah supaya mengorek semula mayat suaminya untuk mengambil contoh tisu dalam usaha siasatannya.

 "Selain itu, menurut Al-Jazeera, beliau menghantar berus gigi dan beberapa helai baju Arafat kepada agensi Switzerland untuk diuji bagi polonium tahun lalu. Makmal negara itu mengesahkan ada kesan polonium pada barangnya," kata Dr Talhami.

Beliau berkata, polonium adalah bahan radioaktif yang tidak berbau atau warna dan amat sulit. "Bagi meneruskan usaha, beliau perlu mendapatkan keputusan yang boleh dilakukan sama ada dengan membuka kes baru mahkamah, bahawa Arafat sebenarnya memang dibunuh," katanya. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/166226