BAITULMUQADDIS – Israel mengumumkan menutup semua pintu masuk antara Tebing Barat, Semenanjung Gaza yang didudukinya dan wilayah Israel bermula semalam sehingga hari ini sempena perayaan Passover.
Ketegangan dilihat semakin memuncak di Israel berikutan satu gelombang keganasan yang menyebabkan 201 warga Palestin dan 28 penduduk Israel terbunuh sejak Oktober lalu.
Langkah sekatan itu diputuskan selepas menilai dari segi keselamatan, kata jurucakap rejim zionis kepada AFP.
Kerajaan Israel dikatakan sering menyekat penduduk Palestian yang mahu ke Israel sempena festival keagamaan penganut Yahudi itu, namun langkah pengecualian akan diambil terutamanya bagi kes-kes bantuan kemanusiaan dan perubatan.
Ribuan penganut Yahudi kini bertumpu di Baitulmuqaddis dan beberapa tempat suci lain semasa cuti selama lapan hari sambutan Passover untuk memperingati penghijrahan Yahudi secara beramai-ramai dari Mesir.
“Sempena Passover, golongan pelampau akan menyebarkan fakta palsu mengenai tempat suci Yahudi, Temple Mount (masjid Al-Aqsa).
“Kami akan mengambil tindakan ke atas golongan provokasi ini dengan menggerakkan pasukan tentera tambahan ke kawasan yang terlibat,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada minggu lalu mengenai tapak sejarah yang dianggap tempat suci bagi penganut Yahudi, Kristian dan Islam. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz46emiwH00
Hakcipta terpelihara