Dalam kejadian pertama, seorang lelaki Palestin ditembak mati oleh pasukan keselamatan rejim Zionis selepas didakwa me­rempuh sekumpulan penduduk Yahudi di kawasan persimpangan di selatan Nablus, menyebabkan tiga orang cedera, dengan dua da­ripadanya parah.
Sementara itu di sebuah kawasan penempatan Beitar Illit, seorang wanita Palestin ditembak mati oleh askar Israel selepas didakwa melancarkan serangan pisau.
Dua kematian terbabit menjadikan angka korban dalam kalangan rakyat Palestin meningkat kepada 73 orang sejak keganasan tercetus di Tebing Barat dan Genting Gaza pada awal bulan lalu.
Dalam perkembangan be­­r­a­singan, tentera Israel semalam menyekat pintu keluar dari selatan Tebing Barat ketika pasukan tentera melancarkan usaha memburu individu terlibat selepas berlaku kejadian tembakan yang menyasarkan penduduk Yahudi dan tentera.
Menurut tentera, dua remaja Israel ditembak dan beberapa yang lain cedera di lokasi yang dikenali oleh penduduk Yahudi sebagai Makam Nabi Ibrahim, manakala penduduk Islam pula menggelar­nya Masjid Ibrahim.
Kira-kira 4,000 penduduk Yahudi membuat lawatan ke Hebron kelmarin dan semalam sebagai sebahagian daripada acara keagamaan.
Selain itu, seorang anggota tentera juga ditembak dan ce­dera berhampiran perkampu­ngan Pa­lestin di Beit Anon, utara Hebron.
Agensi Keselamatan Dalam Negeri Israel, Shin Bet memaklumkan, pihaknya menahan seorang remaja Palestin berusia 16 tahun dari Kampung Bani Naim, yang mengaku melakukan tembakan di Beit Anon. – AFP