Tuesday 29 September 2015

Pertempuran baharu di pekarangan al-Aqsa


REUTERS - POLIS Israel menghalang seorang lelaki Palestin daripada masuk ke kawasan masjid al-Aqsa di Bandar Lama Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS – Beberapa pertempuran baharu antara polis Israel dan penduduk Palestin berlaku di pekarangan Masjid al-Aqsa pagi semalam, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Polis dikerahkan ke pekarangan Masjid al-Aqsa atau dikenali sebagai Bukit Kuil oleh orang Yahudi selepas pertempuran pada hari sebelumnya.
Masjid al-Aqsa yang merupakan tempat ketiga paling suci umat Islam dianggap lokasi paling suci dalam agama Yahudi.
Orang Yahudi dibenarkan untuk melawat tetapi dilarang beribadat di pekarangan Masjid al-Aqsa bagi mengelakkan ketegangan.
Pertempuran kelmarin melibatkan penunjuk perasaan Palestin yang melakukan persiapan untuk mempertahankan masjid itu semasa masyarakat Yahudi menyambut festival Sukkot selama lapan hari.
Sebilangan belia bertopeng Palestin membaling batu dan mercun ke arah pasukan polis dan polis sempadan Israel.
“Polis Israel bertindak balas menggunakan kaedah menyuraikan tunjuk perasaan,” kata Rejim Zionis berhubung pertempuran kelmarin.
Lawatan oleh orang Yahudi turut dihentikan kelmarin, manakala sekatan terhadap lelaki Islam berusia bawah 50 tahun untuk memasuki al-Aqsa turut dimansuhkan seketika sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
Yahudi meraikan festival Sukkot bagi memperingati perjalanan mereka menerusi Sinai ke Baitulmuqaddis selepas melarikan diri daripada cengkaman Fir­aun. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3n4d8d0uk 
Hakcipta terpelihara