NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Laporan terbaharu dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kelmarin mendakwa Genting Gaza berpotensi menjadi wilayah tidak boleh didiami menjelang 2020 jika krisis ekonomi berlarutan.
Menurut laporan al-Arabiya, ia dirumuskan berdasarkan sekatan ekonomi selama lapan tahun yang dikenakan ke atas Gaza selain peperangan sebanyak tiga kali bersama Israel dalam tempoh lebih enam tahun lalu.
"Peperangan tersebut telah memberi impak yang besar kepada penduduk Gaza hingga menyebabkan sebahagian besar daripada mereka kini dihimpit kemiskinan.
"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 15 peratus pada tahun lalu selain kadar pengangguran dicatatkan sehingga 44 peratus," jelas laporan itu.
Menurutnya lagi, konflik dengan Israel itu telah menjejaskan sektor eksport dan perdagangan bagi pasaran tempatan serta projek pembinaan semula wilayah tersebut.
Selain itu, laporan yang dibentangkan di Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan itu turut menggesa prospek ekonomi 2015 bagi wilayah Palestin terbabit yang semakin suram akibat ketidakstabilan politik, kekurangan bantuan dan pembangunan semula yang perlahan
.