Friday 18 March 2016

16 jemaah umrah Palestin maut

Maan (Jordan): Enam belas jemaah umrah Palestin terbunuh apabila bas yang mereka naiki terbalik di kawasan pedalaman di selatan Jordan, kelmarin.
SEORANG lelaki Palestin yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke hospital di Amman, Jordan.
Antara yang mati ialah sembilan orang yang terperosok di bawah kenderaan itu.
Bas berkenaan dilapor terbabas dari jalan raya dalam kejadian lewat malam kelmarin, berhampiran sempadan Jordan dan Arab Saudi, kata jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Jordan, Farid Sharea.
Azzah Ibrahim, antara yang cedera berkata: “Bas itu terbalik. Ada dalam kalangan kami terperosok di bawahnya dan ada di dalam bas, terperangkap di antara tempat duduk.”
Dia kini dirawat di sebuah hospital di Maan, bandar di selatan Jordan, kira-kira 70 kilometer dari tempat kejadian.
Semua penumpang berasal dari Tebing Barat dan dalam perjalanan ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah.
Pengurus hospital di Maan, Dr Walid Ruwad berkata, antara yang terbunuh ialah dua kanak-kanak. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 9:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/123572#sthash.SQqi76I3.dpuf