Friday 20 December 2013

Dua rakyat Palestin dibunuh di Tebing Barat



19 Dis - Askar zionis Israel membunuh dua lagi rakyat Palestin di Tebing Barat dalam serbuan berasingan di bandar-bandar Jenin & Qalqiya. Pertempuran turut mencederakan tujuh yang lain, termasuk tiga mengalami kecederaan serius

Salah seorang daripada mereka, ditembak pada jarak dekat selepas serbuan dibuat di rumah Jamal Abu Al-Haiga. Pemuda yang syahid dikenal pasti sebagai Nafaa Al-Saedi,23. Manakala sepupunya tercedera.

Sebagai tindak balas terhadap serbuan di rumah tersebut, belia Palestin mula membaling batu ke arah askar zionis, manakala askar zionis membalas serangan batu tersebut dengan peluru hidup, yang mencederakan tujuh yang lain.

Manakala di Qalqiya, Saleh Yasin, 29, pegawai keselamatan Palestin, diserang hendap dan syahid semasa pulang daripada kerja. Askar zionis mendakwa beliau membalas tembakan, tetapi laporan hospital membuktikan beliau ditembak dari belakang.

Saksi menyatakan, selepas beliau ditembak, askar zionis membiarkan beliau mengalami pendarahan sehingga mati. Juga, beliau tidak bersenjata semasa ditembak. [Ph]

sumber: MEMO
#aqsasyarif

Langgan 'Newsletter' kami di sini: http://goo.gl/CrSr6o

Palestin sedia lanjutkan tempoh rundingan


Gambar fail bertarikh 2 November 2011, menunjukkan seorang pekerja sibuk melakukan kerja-kerja pembinaan di Har Homa, timur Baitulmaqdis. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan meneruskan pembinaan rumah haram Yahudi. - AP
TEBING BARAT 19 Dis. - Palestin bersedia melanjutkan tempoh rundingan damai melebihi tarikh akhir pada April tahun depan, jika rangka kerja perjanjian yang terperinci boleh disiapkan tepat pada waktunya.
Ketua perunding Palestin, Saeb Erekat berkata, rangka kerja itu berkemungkinan boleh disiapkan sebelum April walaupun terdapat perbezaan besar antara Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
"Semuanya bergantung kepada keputusan Netanyahu untuk melanjutkan tempoh rundingan.
"Jika beliau bersetuju dengan perjanjian tersebut, maka itu keputusan yang akan dicapai kedua-dua pihak," katanya.
Ini merupakan kali pertama perunding Palestin yang diketuai Saeb menyatakan kesediaan untuk mengadakan persetujuan awal berbanding rundingan perjanjian akhir yang akan tamat dalam tempoh sembilan bulan seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini.
Ditanya jika Palestin bersetuju untuk meneruskan rundingan jika rangka kerja perjanjian disiapkan pada April, Saeb berkata, ia bergantung kepada persetujuan yang dicapai membabitkan beberapa perkara.
"Jika isu sempadan, keselamatan, status Baitulmaqdis dan pelarian Palestin diselesaikan, kami bersedia untuk meneruskan rundingan dengan Israel," katanya.
Dalam pada itu, Netanyahu dalam kenyataannya hari ini berkata, Israel berikrar untuk meneruskan perluasan kawasan penempatan haram, sekali gus dijangka menggugat rundingan damai dengan Palestin.
Keputusan itu dibuat ekoran tekanan Amerika Syarikat (AS) terhadap rejim Zionis menjelang pusingan rundingan seterusnya bagi membincangkan pembebasan tahan Palestin pada bulan ini.
"Kami tidak akan berhenti walaupun sekejap untuk membina Israel dan menjadi kuat serta membangun melalui pembangunan penempatan terbabit," katanya. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131220/lu_11/Palestin-sedia-lanjutkan-tempoh-rundingan#ixzz2nzSy0v4d
© Utusan Melayu (M) Bhd