|
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat – Palestin akan mengemukakan draf resolusi kepada PBB bagi mengekang tindakan Israel yang semakin memperluaskan penempatan haram di Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis, kata duta Palestin kelmarin.
Sebelum ini, Majlis Keselamatan PBB gagal meluluskan satu resolusi pada tahun 2011 apabila Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto menghalang badan itu daripada melabelkan tindakan Israel berkenaan sebagai suatu yang salah dari segi undang-undang.
Duta Palestin, Riyad Mansour berkata, resolusi itu akan menjelaskan kedudukan Majlis Keselamatan dalam isu penempatan haram Israel sejajar dengan pengiktirafan PBB terhadap negara Palestin.
Beberapa duta Majlis Keselamatan PBB mengutuk penempatan Israel yang dianggap haram atau tidak sah di sisi undang-undang dan menjadi penghalang kepada perdamaian.
“Kami berpendapat adalah menjadi tanggungjawab Majlis Keselamatan untuk mengambil tindakan menghentikan aktiviti penempatan haram itu,” kata Riyad.
Sementara itu, Duta Israel, Danny Danon tidak bersetuju dengan cadangan resolusi itu sebaliknya menganggap ia merupakan satu percubaan untuk menipu masyarakat dunia tanpa sebarang penyelesaian mengatasi konflik yang berlaku.
Bagaimanapun, rundingan mengenai draf resolusi itu masih dilakukan dengan beberapa negara Arab dan Mesir sebagai anggota Majlis Keselamatan akan mengetuai draf itu untuk dibentang serta diundi. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz45QZGBjBt
Hakcipta terpelihara