Dua askar Israel berkawal ketika kerja-kerja merobohkan rumah penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur, baru-baru ini. - AFP
BAITULMAQDIS 24 Jan. – Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal-Ehwal Kemanusiaan (OCHA), semalam mendakwa Israel secara haram telah memusnahkan kediaman 77 orang penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat, minggu ini.
OCHA dalam satu kenyataan berkata, sebahagian darpada rumah yang dimusnah itu dibina oleh masyarakat antarabangsa yang prihatin dengan masalah yang dihadapi penduduk Palestin di kawasan berkenaan.
“Sejak tiga hari lalu, 77 penduduk Palestin dengan separuh daripada mereka kanak-kanak tidak lagi mempunyai tempat perlindungan.
“Tindakan meroboh (kediaman penduduk Palestin itu) telah mengakibatkan berlakunya pengusiran secara paksa dan ini adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa kerana mewujudkan situasi tegang dan menyebabkan penduduk sengsara. Perkara ini perlu dihentikan segera,” jelas OCHA.
Menurut OCHA, pencerobohan secara haram itu dilakukan di Baitulmaqdis Timur dan beberapa kawasan di daerah Ramallah, Jericho dan Hebron.
OCHA dalam kenyataan itu berkata, sepanjang tahun lalu, rejim Zionis Israel melancarkan banyak pencerobohan di Baitulmaqdis Timur dan satu zon di Tebing Barat yang dikenali sebagao Area C.– AFP