Thursday, 4 April 2013

Israel lancar serangan udara ke atas Gaza




3 April 2013
GAZA - Israel melancarkan serangan udara ke Gaza - yang pertama sejak gencatan senjata dikuatkuasakan di sempadan Palestin itu November lalu.

Tentera Israel berkata dalam satu kenyataan hari ini yang pesawatnya menyasarkan dua kawasan semalam, kedua-duanya tepat menuju sasaran.

Kementerian Dalam Negeri di Gaza, yang diperintah Hamas, memerintahkan supaya pesawat mendarat ke ruang terbuka di utara Gaza bagi mengelakkan sebarang kecederaan berlaku.

Terdahulu, tentera Israel berkata Palestin terlebih dahulu melancarkan tiga roket ke arah Israel.

Israel dan Hamas bersetuju untuk gencatan senjata sejak November lalu selepas lapan hari bertempur. Ia mengorbankan 170 rakyat Palestin dan tiga rakyat Israel.

Israel-Palestin terus bergolak




4 April 2013
Israel-Palestin terus bergolak
Penduduk Palestin mengadakan protes mengutuk Israel selepas berita kematian Abu Hamdiyeh diumumkan, kelmarin.
BANDAR GAZA - Dua roket dibedil ke selatan Israel beberapa jam selepas rejim Zionis melancarkan tiga serangan udara di Genting Gaza, awal pagi semalam.

Ia adalah kejadian serangan balas pertama sejak pelaksanaan gencatan senjata selepas berakhirnya Perang Israel-Palestin selama lapan hari pada November lalu.

Saksi memberitahu sehari sebelum itu, sebuah kawasan lapang di selatan Israel diserang roket dari Gaza selepas media mengumumkan berita kematian seorang tahanan Palestin di penjara negara tersebut.

Pihak berkuasa turut mengesahkan insiden berbalas serangan itu tidak menyebabkan kecederaan atau kemusnahan harta-benda.  

Dalam satu kenyataan, Majlis Syura Mujahidin memaklumkan tindakan itu adalah sebagai respons terhadap tindakan sambil lewa Israel kerana gagal memberi rawatan sepatutnya kepada Maisara Abu Hamdiyeh, 63, yang menderita barah tekak.

Mereka turut mendakwa Israel sengaja enggan membebaskan Abu Hamdiyeh lebih awal walaupun mereka sedar tahap kesihatannya semakin buruk dipetik dari sumber AFP.

Gementar lihat F-16 Israel di udara



MOHD HAIKAL ABD JALIL
4 April 2013
Gementar lihat F-16 Israel di udara
Sebahagian pejuang Briged al-Qassam menunjukkan kekuatan senjata yang mereka ada.
GAZA – Bagi anggota Misi Kemanusiaan Aman Palestin dari Kuala Lumpur, berada di sempadan Israel adalah sesuatu yang menakutkan, lebih-lebih lagi apabila pesawat tentera musuh berlegar di udara.

Walaupun singgah dalam waktu singkat dan dikawal pasukan keselamatan, kedudukan dalam jarak hanya 400 meter dari wilayah rejim Yahudi memang mendebarkan sebab sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Tetapi bagi anggota pasukan pejuang Briged al-Qassam, ancaman pesawat pejuang tentera Israel menjadi sebahagian hidup dan mereka sudah nekad berjihad menentang Yahudi.

“Kami tidak gentar dan akan pertahan hak kami,” kata ketua di markas yang terletak di sempadan Israel, ketika menerima kunjungan singkat rombongan Aman Palestin.

Atas sebab-sebab keselamatan, beliau enggan disebut nama dan hanya bersedia diambil gambar dengan memakai topeng.

Briged al-Qassam, dianggotai pelbagai latar belakang termasuk pelajar dan petani berumur 18 hingga 35 tahun, ialah sayap tentera dalam parti politik Hamas yang identiti dan posisi pejuang mereka dirahsiakan.

Rombongan kami berkesempatan melawat dua markas latihan, diberi taklimat dan berkenalan dengan anggota pasukan berani mati.

Anggota briged mengucapkan terima kasih dan terharu dengan bantuan yang disalurkan Malaysia.

Pada lawatan pertama, peserta rombongan dibawa ke markas latihan briged al-Qassam. Walaupun serba-serbi terhad, semangat dan keberanian mereka jelas ditonjolkan dalam sesi latihan.

Peserta rombongan kemudian dibawa pula ke sebuah lagi lokasi markas yang terletak hanya 400 meter dari sempadan Israel dan tiba-tiba kelihatan pesawat pejuang F-16 milik tentera Israel berlegar di ruang udara berhampiran.

Ketua markas tidak membenarkan kami lama di situ kerana bimbang keselamatan anggota rombongan.

Israel beri amaran kepada pejuang Palestin

SEORANG juruteknik bom memeriksa serpihan roket yang dilancarkan
para pejuang Palestin dari Genting Gaza yang jatuh di Sderot,
 selatan Israel semalam.- AFP

BAITULMUQADDIS - Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon memberi amaran semalam bahawa Israel akan bertindak terhadap sebarang serangan yang dilakukan ke atas wilayahnya.
Amarannya itu dibuat selepas beberapa pejuang Gaza melancarkan serangan roket ke arah selatan Israel semalam.
Selain itu Israel turut menerima serangan mortar dari Syria dan serangan senjata kecil lain di Bukit Golan.
"Kami tidak akan membenarkan sebarang serangan ke atas orang awam dan pasukan pihak berkuasa kami," kata Yaalon.
Ekoran serangan itu, sebuah jet pejuang Israel melancarkan serangan ke Genting Gaza awal semalam.
Ia merupakan kejadian berbalas serangan yang paling sengit sejak para pejuang Palestin dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada November tahun lalu.
Rejim Zionis melancarkan serangan udara selepas tiga roket dilancarkan para pejuang Palestin di selatan Israel.
Sebuah kumpulan Al-Qaeda, Magles Shoura Al-Mujahadeen mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Menurut kumpulan itu, ia melancarkan serangan itu bagi membalas kematian seorang banduan Palestin di sebuah penjara Israel, Maysara Abu Hamdeya yang berusia 64 tahun.
Maysara menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana didapati bersalah cuba untuk mengebom sebuah kafe Israel.
Beliau mati kerana kanser pada Selasa lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2PSeI4G80 
Hakcipta terpelihara