Wednesday 28 August 2013

Kematian 3 pemuda Palestin jejas rundingan


Ahli keluarga dan saudara mara mengangkat jenazah Jihad Aslan, seorang daripada pemuda yang mati ditembak Israel di Ramallah, Tebing Barat, kelmarin. - REUTERS
RAMALLAH 27 Ogos - Rundingan damai antara Palestin dan Israel yang sepatutnya berlangsung di sini, semalam dibatalkan selepas tiga rakyat Palestin ditembak mati di Tebing Barat, satu laporan yang dinafikan Amerika Syarikat (AS) sebagai penganjur rundingan tersebut.
"Mesyuarat yang sepatutnya berlangsung di Jericho hari ini dibatalkan berikutan jenayah yang dilakukan Israel di kem pelarian Qalandiya,'' kata seorang pegawai Palestin.
Namun Jabatan Negara AS yang menjadi pengantara rundingan tersebut menegaskan, tiada mesyuarat antara kedua-dua pihak dijadual berlangsung semalam.
"Saya boleh memberi jaminan bahawa tiada mesyuarat yang dibatalkan,'' kata jurucakap Jabatan Negara, Marie Harf kepada media di Washington.
Dalam pada itu, pegawai pihak berkuasa Palestin yang enggan namanya didedahkan, tidak menyatakan tarikh baharu perjanjian itu akan berlangsung.
Tiga rakyat Palestin ditembak mati tentera Israel dan 19 lagi cedera dalam kejadian awal pagi semalam di kem pelarian Qalandiya.
"Apa yang berlaku di Qalandiya menunjukkan niat sebenar Israel,'' kata jurucakap bagi Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeina.
Beliau menggesa pentadbiran Amerika supaya mengambil 'langkah segera dan serius' bagi menghalang kegagalan rundingan damai. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130828/lu_10/Kematian-3-pemuda-Palestin-jejas-rundingan#ixzz2dEaFWJOw
© Utusan Melayu (M) Bhd