Tuesday 29 October 2013

Genting Gaza rugi AS$230j


GAZA CITY 28 Okt. - Pergerakan Hamas berkata, tindakan Mesir menutup terowong penyeludupan ke Gaza menyebabkan wilayah Palestin itu mengalami kerugian ekonomi berjumlah AS$230 juta (RM721 juta).
Timbalan Menteri Ekonomi Hamas, Hatem Oweida berkata, penutupan terowong tersebut menyebabkan sektor industri, perdagangan, pengangkutan dan pembinaan di wilayah Palestin yang ditadbir pergerakan itu mengalami kerugian kira-kira AS$230 juta (RKM721 juta) sebulan.
Bahan-bahan keperluan asas sejak bertahun-tahun lalu diseludup dari Mesir ke Gaza melalui terowong berkenaan, bagi memintas sekatan Israel.
Bagaimanapun, tentera Mesir, baru-baru ini mula memusnahkan banyak terowong tersebut selepas Presiden, Mohammed Mursi daripada pergerakan Ikhwanul Muslimin yang merupakan sekutu Hamas digulingkan.
Hatem berkata, Palestin bergantung kepada terowong berkenaan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 40 peratus keperluan bahan binaan dan bahan mentah.
''Kadar pengangguran di Gaza akan meningkat kepada 43 peratus jika pintu masuk utama di sempadan masih ditutup dan terowong terus dimusnahkan,'' katanya.
Beliau berkata, perolehan awam menyaksikan penurunan selepas penutupan terowong dan sekatan diketatkan pada separuh kedua tahun ini, keadaan yang akan memberi kesan kepada program pekerjaan dan pekerjaaan sementara.
Israel mengenakan sekatan di darat, laut dan udara ke atas wilayah Gaza pada 2006 selepas pejuang pemisah menyerang seorang askar Yahudi.
Sekatan itu diperketatkan pada pertengahan 2007 apabila Hamas merampas pentadbiran ke atas Gaza. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131029/lu_05/Genting-Gaza-rugi-AS230j#ixzz2j5DTICAA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hari ini dalam sejarah | 29 Oktober 1956



Perang Suez

Apabila Jamal Abdul Naser mengumumkan bahawa Terusan Suez akan dimiliki oleh Mesir sepenuhnya, maka Zionis Israel bersama Perancis dan British telah menyerang Mesir, mengebom Kaherah (Cairo) dan menawan Suez beserta Semenanjung Sinai. 

Peristiwa itu berulang lagi pada hari ini. Morsi telah dijatuhkan apabila Mesir ingin membebaskan diri daripada bergantung kepada negara luar, dan mendapatkan hak mereka ke atas Terusan Suez.


[AK]

26 tahanan Palestin bebas

26 tahanan Palestin bebasKumpulan pertama tahanan yang dipenjarakan lebih 20 tahun di Israel dibebaskan Ogos lalu.

TEL AVIV - Seramai 26 tahanan Palestin dibebaskan di bawah perjanjian tajaan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penyambungan semula rundingan damai di Timur Tengah, selepas tertangguh lebih tiga tahun.

Pembebasan peringkat kedua itu dibuat selepas Israel bersetuju membebaskan 104 tahanan secara empat peringkat dalam tempoh sembilan bulan.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memaklumkan, rancangan provokasi beliau untuk meluluskan projek penempatan haram baru Yahudi dilihat meningkatkan lagi ketegangan dengan Palestin.

Dalam perkembangan lain, dipetik dari Al-Arabiya, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan, sekatan haram Israel menyebabkan bekalan ubat semakin berkurangan dan turut mengancam ratusan nyawa pesakit di wilayah itu.

"Kami berhadapan pelbagai masalah termasuk beberapa mesin rawatan gagal berfungsi kerana bekalan kuasa elektrik dicatu," jelas jurucakap kementerian, Mohammad Shatat.

Situasi itu juga memaksa kumpulan hak asasi manusia, Pusat al-Mezan bertindak menggesa rejim Zionis supaya menghentikan sekatan haram di Gaza.