Friday 28 March 2014

Nafi Gaza dikepung 1,000 kereta kebal


2014/03/27 - 05:44:46

Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menafikan bahawa pihaknya ada mengeluarkan sebarang maklumat yang kononnya Gaza, Palestin kini dikepung oleh 1,000 kereta kebal.

Pengarah Strategi MAPIM, Sani Araby Al-Kahery, dalam satu kenyataan balas menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat berkenaan kerana ia tidak benar sama sekali.


Keperluan asas meruncing

Gaza memang terkepung dan keperluan asas sangat meruncing.

Dunia seharusnya mengecam supaya pintu Rafah dibuka, namun fakta yang ditokok tambah sehingga bertukar menjadi fitnah harus dielakkan.

Delegasi MAPIM kini terkandas dalam cubaan masuk ke Gaza. Kami ke sana bagi menjayakan misi Break The Siege, katanya.

Sani turut menggesa orang ramai supaya memeriksa kesahihan sesuatu berita yang tersebar terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkan atau berkongsi dengan orang lain.
Dakwa kena kepung

Antara lain yang terkandung dalam maklumat disebarkan itu mengatakan pasukan tentera Israel kini sedang mengepung Gaza dengan kekuatan 1,000 kereta kebal bagi menutup laluan utama keluar dan masuk ke bandar berkenaan.

Maklumat itu turut mengaitkan perkara itu dengan tindakan Israel yang menutup kesemua kedutaan mereka di seluruh dunia sejak beberapa hari lalu.