Thursday 20 August 2015

Mogok lapar: Peguam Palestin dilapor koma


20 OGOS 2015
Mogok lapar: Peguam Palestin dilapor koma

Mogok lapar: Peguam Palestin dilapor koma

SEORANG peguam Palestin koma selepas 60 hari mogok lapar semasa menjadi tahanan pemerintah Israel.

Mohammed Allan, dipenjarakan tanpa perbicaraan sejak November tahun lalu, menerima bantuan pernafasan yang merupakan rawatan perubatan pertama diterimanya sejak membantah dasar pentadbiran tahanan Israel.

Allan, 31, didakwa menjadi anggota Jihad Islam, enggan menerima apa-apa rawatan perubatan, vitamin atau mineral kecuali air minuman.

Jurucakap Hospital Barzilai di Ashkelon berkata, Israel dalam satu kenyataan, keadaan Mohammed Allan merosot dan sedang menerima rawatan dan keadaannya stabil.

"Rawatan itu ditadbirkan mengikut garis panduan jawatankuasa etika dan termasuk pernafasan dan cecair intravena," katanya.

Bulan lalu, Knesset meluluskan undang-undang membenarkan untuk memaksa tahanan untuk makan jika kesihatan mereka berada dalam keadaan bahaya.

Israel bimbang mogok lapar oleh rakyat Palestin di penjara-penjara yang boleh berakhir dengan kematian dan gelombang mencetuskan protes di Tebing Barat.

Pada hari Jumaat, perkhidmatan penjara Israel mengisytiharkan darurat di penjara Israel, menutup semua bahagian dan mengenakan perintah berkurung pada semua banduan.

Jumaat lepas, Persatuan Palang Merah Antarabangsa mengeluarkan amaran bahawa keadaan Allan semakin teruk dan nyawanya dalam risiko.

Allan dipindahkan ke Hospital Barzilai selepas doktor di Hospital Soroko enggan memaksanya makan.

Persatuan Perubatan Israel (IMA) bagaimanapun menolak undang-undang untuk memaksa tahanan makan.

"Setiap doktor mempunyai hak untuk menolak untuk memaksa tahanan makan jika tahanan terbabit enggan makan,” katanya.

IMA telah mengeluarkan suatu petisyen bantahan kepada Mahkamah Agung mengenai kesahihan undang-udang yang memaksa banduan untuk makan dan dijadual didengar pada September ini.

"Sebaik sahaja Allan tidak sedarkan diri, etika perubatan memerlukan doktor bertindak mengikut pemahaman mereka tentang kehendak pesakit dan atas budi bicara mereka," kata Organisasi Hak Asasi Manusia Israel kepada Guardian.

Organisasi itu menambah, Israel bertanggungjawab  terhadap kesihatan Allan dan menggesa untuk melepaskan Allan daripada tahanan pentadbiran.

Menurut perkhidmatan penjara Israel dan kumpulan hak asasi manusia B'Tselem, hampir 400 rakyat Palestin kini berada dalam tahanan pentadbiran.

Pada bulan Julai, Israel membebaskan tahanan Palestin, Khader Adnan berikutan mogok lapar lebih daripada 50 hari telah mengancam nyawanya.