Sunday 29 December 2013

Hari ini dalam sejarah | 29 November 1947 | Resolusi 181 PBB



Pada hari ini dalam tahun 1947, PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang telah memecahkan bumi Palestin kepada 2 negara untuk penduduk Arab Palestin dan pendatang Yahudi serta meletakkan Baitul Maqdis dibawah pentadbiran antarabangsa. Resolusi ini lebih dikenali sebagai UN Partition Plan 1947. Resolusi ini adalah benih dan dijadikan alasan oleh Yahudi untuk melahirkan negara haram Israel pada 1948.

Pada May 1947, PBB telah menubuhkan United Nation Special Committee On Palestine (UNSCOP) untuk mencadangkan penyelesaian konflik Arab-Yahudi di Palestin. Mufti Baitul Maqdis Sh. Amin Husayni menolak mentah-mentah j/kuasa UNSCOP ini kerana tiada siapapun yang berhak menentukan masa depan Palestin melainkan rakyat Palestin yang sah, apalagi membahagi-bahagikan bumi Palestin kepada pendatang luar.

Resolusi ini disokong oleh 33 negara dan dibantah oleh 13 negara, 10 berkecuali. Semua negara Islam membantah. Lebih menyedihkan tiada langsung wakil Palestin untuk bersuara. Akhirnya bumi Palestin dipecahkan ,dan masa depan Palestin dan Baitul Maqdis ditentukan oleh orang luar yang tiada kena-mengena langsung dengan bumi barakah ini.

Pengeluaran Resolusi ini yang sememangnya dirancang oleh Zionis Yahudi dari awal, telah dijadikan 'lesen' oleh mereka untuk menubuhkan Israel, kononnya mereka telah diberikan hak oleh PBB dan masyarakat antarabangsa.

Namun Yahudi lebih tamak dari itu. Sebaik Resolusi diluluskan dan menjangkakan ia akan ditentang oleh negara Arab, kumpulan pengganas Yahudi seperti Haganah, Stern Gang dan Irgun mula menyerang penduduk Arab dan menghalau keluar dari kampung halaman mereka. Ini termasuklah pembunuhan beramai-ramai penduduk Deir Yassin pada bulan April 1948. Percubaan tentera Arab untuk mempertahankan Palestin dikalahkan oleh tentera Yahudi lebih terlatih dan persenjataan yang lebih baik. Mereka telah dilatih dan dilengkapi oleh British untuk membantu British dalam Perang Dunia ke 2.

Apabila British berundur dan negara haram Israel diistiharkan pada 15 Mei 1948, Yahudi telah menguasai 78% dari bumi Palestin, lebih 22% yang diberikan oleh Resolusi 181. Perjanjian Damai Rhodes (Rhode Armitice 1949) pula telah mengiktiraf sempadan baru Israel ini yang dikuasai dengan peperangan dan penghalauan rakyat Palestin. Israel tidak pernah berundur kebelakang selepas itu bahkan semakin merampas tanah Palestin dan Arab melalui Perang 1967 dan 1973.

Daripada 3 objektif Resolusi 181 ini, hanya 1 yang terlaksana iaitu penubuhan Israel. 2 lagi objektif hanya tinggal mimpi - penubuhan negara Palestin dan meng'antarabangsa'kan Baitul Maqdis. Resolusi ini menjadi `permit' yang diberikan oleh PBB untuk menghalalkan penubuhan negara haram Israel.

Ar. Syed Mohd Radhi
Aqsa Syarif Selangor
29 Nov 2013