Saturday 26 March 2016

UNHRC terima resolusi


Rejim Zionis bertindak memperluaskan projek penempatan haram mereka di Baitulmaqdis dan Tebing Barat.
GENEVA - SWITZERLAND. Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC), kelmarin, menerima pakai resolusi yang menggesa penubuhan pangkalan data perniagaan terlibat dalam aktiviti berkaitan projek penempatan haram Israel di wilayah Palestin.
Langkah itu dikatakan telah mencetuskan kemarahan Tel Aviv dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS).
Resolusi dibentangkan Pakistan itu memperoleh 32 undi sokongan manakala 15 berkecuali yang mana kebanyakannya adalah negara Eropah.
Menurut Islamabad, projek penempatan haram Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Bukit Golas secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.
Difahamkan, langkah itu adalah antara 40 resolusi yang diterima pakai agensi PBB pada akhir sesi persidangan empat minggu tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, majlis itu turut menamakan profesor undang-undang Kanada, Stanley Michael Lynk sebagai penyiasat baharu untuk memantau situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin. - Press TV

PBB kutuk pembunuhan kejam penduduk Palestin

Baitulmaqdis: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk pembunuhan kejam seorang penduduk Palestin yang cedera oleh tentera Israel di Tebing Barat yang rakaman video kejadian itu tersebar di internet.
“Saya mengutuk keras pembunuhan penduduk Palestin di Hebron itu, di Tebing Barat yang diduduki tentera Israel.
“Ia kejam dan tidak bermoral serta memburukkan lagi keganasan sedia berlaku,” kata Penyelaras Khas PBB untuk proses damai Asia Barat, Nickolay Mladenov, dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tentera Israel menahan askar berkenaan selepas dia menembak mati seorang penduduk Palestin yang cedera di kepala yang tidak bersenjata ketika mangsa terbaring selepas menikam seorang lagi askar.
 
Rakaman video itu tersebar malah turut disiarkan stesen televisyen Israel.
Keganasan di Palestin sudah membunuh lebih 200 penduduk Palestin yang ditembak tentera atau penduduk Israel. Kira-kira 28 penduduk Israel juga mati dalam keganasan sejak tahun lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 6:58 PM


Petikan rakaman kejadian penduduk Palestin yang cedera ditembak askar Israel yang tersebar di internet. - Foto AP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/125429#sthash.J4VMeCyV.dpuf

Wujudkan pangkalan data perniagaan di wilayah Palestin

Gambar bertarikh 5 September 2014 merakamkan kerja-kerja pembinaan

Gambar bertarikh 5 September 2014 merakamkan kerja-kerja pembinaan penempatan haram Yahudi berhampiran kawasan perindustrian milik Israel di Barkan, wilayah dijajah rejim Zionis. - AFP
GENEVA 25 Mac – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Me­ngenai Pelarian (UNHCR) meluluskan resolusi menggesa pewujudan satu pangkalan data perniagaan melibatkan aktiviti di penempatan haram Yahudi di kawasan jajahan Palestin, tindakan yang menimbulkan kemarahan Tel Aviv dan sekutunya, Washington.
Portal Press TV melaporkan, resolusi yang dicadangkan oleh Pakistan itu menerima 32 undi sokong­an, tiada undi menentang dan 15 yang kebanyakkannya negara-­negara Eropah, berkecuali.
Pakistan menyatakan, penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, Baitulmaqdis, dan Bukit Golan melanggar undang-undang antarabangsa.
UNHCR menggesa senarai perniagaan itu dikemaskini setiap tahun selain perlu dinilai di bawah ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia melibatkan penghasilan produk penempatan haram tersebut’.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-­Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon berkata, pangkalan data itu merupakan satu ‘senarai hitam’ dan menuduh badan dunia itu ‘berat sebelah’ terhadap Tel Aviv.
Pendekatan tersebut merupakan antara 40 resolusi yang diluluskan oleh badan dunia itu selepas bersidang selama empat minggu.
UNHCR menamakan Stanley Michael Lynk sebagai penyiasat baharu berhubung situasi hak asasi manusia di kawasan jajahan Palestin.
Lynk menggantikan Makarim Wibisono yang meletakkan jawatan pada Januari lalu ekoran kegagalan Israel bekerjasama sama dengannya.
Hampir separuh juta penduduk Yahudi tinggal di 230 penempatan haram sejak penjajahan Israel di kawasan milik Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wujudkan-pangkalan-data-perniagaan-di-wilayah-palestin-1.204733#sthash.xP532Khk.dpuf

Video papar askar Israel sengaja tembak mati pemuda Palestin


imej video didedahkan badan bukan kerajaan, BTselem memaparkan seorang tentera Israel (tengah) merapati Abdul Fatah yang terbaring di jalan sebelum menembak mati mangsa di kepala di Hebron, Tebing Barat, kelmarin. AFP
BAITULMAQDIS 25 Mac – Seorang tentera Israel ditahan semalam selepas video yang menunjukkan dia menembak mati seorang remaja Palestin di kepala mangsa, tersebar luas di Internet.
Dalam video tersebut, remaja dikenali sebagai Abdul Fatah al-Sharif bersama seorang lagi pemuda lain yang didakwa cuba menikam tentera Israel di bandar Hebron, Tebing Barat, dibiarkan di atas tanah selepas kedua-duanya ditembak.
Anggota tentera itu dilihat sekali lagi melepaskan tembakan tepat ke kepala Abdul Fatah yang cedera akibat tembakan pertama.
Seorang jurucakap pasukan keselamatan itu menyifatkan insiden tersebut sebagai menyalahi undang-undang tentera sambil menambah siasatan akan dilakukan ketika askar terbabit telah ditahan.
Katanya lagi, siasatan terhadap kes tersebut bermula sebelum vi­deo itu tersebar.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Palestin, Jawad Awwad menyifatkan kejadian itu sebagai jenayah perang.
Keganasan yang bermula Oktober tahun lalu telah mengorbankan 200 penduduk Palestin dan penduduk Yahudi. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/video-papar-askar-israel-sengaja-tembak-mati-pemuda-palestin-1.204739#sthash.KllquKnf.dpuf