Saturday, 17 January 2015

ICC buka kertas siasatan jenayah perang di Palestin



Ibu pejabat ICC di The Hague. - Foto wikipedia.org
The Hague: Pendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkata pihaknya, sudah membuka siasatan awal jenayah perang di wilayah Palestin, langkah rasmi pertama yang boleh membawa pendakwaan kepada Israel atau Palestin.
Pada 1 Januari lalu, sehari sebelum memohon menjadi anggota ICC, kerajaan Palestin meminta pendakwa menyiasat tuduhan jenayah yang dilakukan di wilayahmya sejak 13 Jun 2914, tarikh Israel memulakan serangan ke atas Gaza.
"Mahkamah akan membuat analisis secara bebas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak," kata ICC di dalam satu kenyataan, sambil menambah ia adalah perkara dasar dan pelaksanaan untuk membuka siasatan awal.
Sementara itu ketua delegasi Palestin di The Hague, Nabil Abuznaid berkata kes jenayah Israel sudah berada di tangan mahkamah.
"Ia adalah urusan perundangan sekarang dan kami percaya dengan sistem mahkamah yang ada," katanya.
Pegawai kedutaan Israel di The Hague, tidak dapat dihubungi untuk mendapat kenyataan.
Pemeriksaan awal, yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun, membabitkan pengumpulan bukti dakwaan jenayah dan kaedah pelaksanaan pendakwaan.
Hanya selepas siasatan penuh dilakukan pendakwaan boleh dilakukan sama ada Israel atau Palestin. AGENSI