Thursday 2 October 2014

palestin

palestin

Palestin: Pencerobohan Israel mesti dihentikan pada 2016




PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB Jumaat lalu. - Foto AP
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Palestin meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menetapkan November 2016 sebagai tarikh akhir supaya Israel keluar dari semua wilayah yang diceroboh sejak 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur.
Draf resolusi itu yang diedarkan pada ahli majlis berkenaan diikuti dengan pengumuman Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB Jumaat lalu, meminta majlis itu supaya menetapkan tarikh akhir untuk Israel keluar dan mengenakan peraturan jika perbincangan diadakan dengan pihak rejim.
Draf resolusi berkenaan akan mengesahkan kesungguhan Majlis Keselamatan untuk mencapai penyelesaian keamanan bagi menamatkan penjajahan Israel tanpa 'kelewatan' dan menyempurnakan wawasan kedua-dua negara - 'negara Palestin yang merdeka, berdaulat, demokratik, bersempadan dan berdaya maju' hidup berjiran dengan Israel dalam suasana keamanan dan keselamatan di sempadan seperti sebelum perang Asia Barat pada 1967. - AP

Lagi rumah penduduk Palestin dirampas


Peneroka haram Yahudi sering merampas rumah penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis dan mengusir mereka, sekali gus menambahkan lagi penderitaan penduduk terlibat. - AFP
BAITULMAQDIS 1 Okt. - Peneroka haram Yahudi bertindak merampas 25 buah pangsapuri di timur Baitulmaqdis semalam, mendakwa hartanah berkenaan hak milik mereka, lapor penduduk dan para pemimpin Palestin.
Rampasan terbaharu itu turut mengakibatkan berlakunya pertempuran di antara penduduk tempatan dengan peneroka haram Yahudi di kawasan perumahan Silwan yang terletak berhampiran Masjid al-Aqsa.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas saling menunding jari di antara satu sama lain di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, sekali gus menyukarkan usaha penyelesaian damai dicapai.
Seorang penduduk yang memiliki tiga buah rumah di Silwan, Mohammed al-Khayat berkata, peneroka haram bertindak memecah kunci rumah terbabit sebelum menggantikannya dengan kunci baharu.
Jurucakap polis berkata, pertempuran berlaku selepas seorang penduduk Palestin cuba memasuki bangunan pangsapuri berkenaan, namun dihalang oleh peneroka haram yang turut menunjukkan dokumen bahawa mereka sudah membeli kediaman tersebut.
Sementara itu, seorang peneroka haram Yahudi yang dikenali sebagai Elad berkata, sebuah syarikat yang dikenali sebagai Kendall Finance telah membeli hartanah berkenaan, bagaimanapun perkara tersebut dinafikan oleh peguam yang mewakili penduduk Palestin.
Pegawai Perunding Palestin, Saeb Erakat menyalahkan Netanyahu berhubung kejadian berkenaan kerana sering menggalakkan peneroka haram Israel merampas tanah hak milik penduduk Palestin.
"Mereka (peneroka Yahudi) menterjemah ucapan yang disampaikan oleh Netanyahu dalam bentuk tindakan dengan merampas bangunan pangsapuri di timur Baitulmaqdis," jelasnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141002/lu_02/Lagi-rumah-penduduk-Palestin-dirampas#ixzz3EvugTn6z
© Utusan Melayu (M) Bhd