Saturday 13 June 2015

Israel tutup kes bunuh

Israel tutup kes bunuh
Seorang penduduk Palestin mengangkat mayat salah seorang kanak-kanak yang terkorban dalam insiden tersebut.

TEL AVIV - ISRAEL. Kerajaan Israel memaklumkan bahawa mereka menggugurkan siasatan terhadap insiden serangan udara yang telah meragut nyawa empat kanak-kanak di Genting Gaza pada tahun lalu.

Jurucakap tentera rejim Zionis memberitahu kes tersebut ditutup kerana siasatan telah selesai dijalankan.

"Keputusan itu dibuat selepas menilai semula beberapa dokumen termasuk rakaman video yang berkaitan dengan kejadian terbabit.

"Bahan bukti yang diperoleh juga menunjukkan serangan tersebut disasarkan ke kawasan Hamas," katanya lagi.

Bagaimanapun, laporan wakil media dari akhbar Britain, The Guardian mendedahkan Israel tidak pernah melakukan siasatan ke atas insiden serangan tersebut sebaliknya mereka hanya membuat andaian sendiri tanpa mengemukakan bukti sebenar.

Pada 16 Julai lalu, seramai empat kanak-kanak berusia antara sembilan dan 11 tahun terkorban selepas rejim Zionis bertindak membedil kawasan pantai di Gaza.

Dalam perkembangan lain, tentera Israel turut menutup dua lagi kes serangan berdarah ke atas kawasan kediaman di tengah bandar Gaza dan selatan bandar Khan Yunis yang turut menyebabkan lebih 20 penduduk Palestin terbunuh.  - Press TV

Israel enggan akui kesilapan bunuh empat kanak-kanak Palestin

Gambar fail merakamkan kejadian empat kanak-kanak Palaestin terkorban

Gambar fail merakamkan kejadian empat kanak-kanak Palaestin terkorban selepas tentera Israel melancarkan serangan udara ketika mereka sedang bermain bola sepak di Genting Gaza pada 2014. AGENSI

BAITULMAQDIS 12 Jun – Israel terus cuba menutup kesilapan tenteranya apabila mendakwa pembunuhan empat kanak-kanak lelaki Palestin dalam satu serangan udara di sebuah pantai di Gaza ketika perang 2014 merupakan satu kes kesilapan mengenal pasti identiti, dan ia tidak perlu dikenakan tindakan undang-undang jenayah.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata, tentera udara Israel melancarkan serangan ke atas empat kanak-kanak lelaki tersebut selepas gagal mengenal pasti mereka sebagai kanak-kanak dan mempercayai mereka merupakan kumpulan lelaki bersenjata.
“Selepas menilai hasil siasatan, Pejabat Penasihat Perundangan Tentera (Israel) mendapati proses serangan dibuat berdasarkan undang-undang domestik Israel dan undang-undang antarabangsa,’’ katanya dalam akaun Facebooknya.
Beliau menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu kejadian tragik.
Saksi berkata, keempat-empat kanak-kanak tersebut sedang bermain bola sepak ketika serangan itu dilancarkan.
Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza selepas pe­ningkatan serangan roket oleh pergerakan Hamas dan kumpulan pemisah Palestin lain ketika itu.
Serangan Israel ke atas Gaza selama dua bulan itu menyaksikan lebih 2,100 penduduk Palestin terkorban, kebanyakannya orang awam, dan hanya 67 askar Israel dan enam orang awam Israel maut.
Israel berkata, pihaknya cuba mengelak membunuh orang awam dan menuduh Hamas menjadi punca operasi ketenteraan dilancarkan di kawasan penduduk.
Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel berkata, pihaknya juga menutup kes serangan ke atas kawasan kediaman pada 21 Julai dan 29 Julai yang menyaksikan 22 penduduk Pa­lestin terbunuh. – Reuters
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-enggan-akui-kesilapan-bunuh-empat-kanak-kanak-palestin-1.102229#sthash.J6STDNDc.dpuf