NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT.  Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berkemungkinan tidak akan memasukkan Israel dalam senarai tahunan negara bertanggungjawab yang melanggar hak kanak-kanak semasa konflik bersenjata.

Kementerian Luar Israel menafikan telah memberi tekanan kepada Ban, namun beberapa sumber diplomatik percaya bahawa negara itu telah melobi pejabat PBB bagi memastikan mereka tidak berada dalam senarai berkenaan.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric memaklumkan, Ban bagaimanapun sehingga kini masih belum membuat keputusan mengenai kemasukan Israel itu.

Berdasarkan laporan ditulis Wakil Khas Setiausaha Agung untuk Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata, Leila Zerrougui, Israel diletakkan dalam senarai organisasi pengganas dan antara negara yang dianggap sebagai paling teruk mendera hak asasi manusia di dunia.

Dalam laporan tahunan dihantar kepada PBB Mac lalu, Zerrougui ada menyebut tentang kebimbangannya terhadap kanak-kanak Palestin di Gaza yang terbunuh dan cedera semasa perang musim panas lalu antara Israel dan Hamas.

Difahamkan, Ban berkuasa untuk membuat sebarang perubahan kepada laporan Zerrougui sebelum penerbitannya Jun ini. - Jerusalem Post