Menurut portal Press TV.com yang memetik kenyataan pihak berkuasa, tentera menyasarkan beberapa buah bot milik penduduk Palestin di utara kem pelarian Nuseirat, yang terletak kira-kira lima kilometer di bandar Dayr al-Balah.
Namun tiada laporan kematian dan kerosakan dalam serangan tersebut.
Serangan itu berlaku sehari selepas pihak berkuasa Israel melepaskan tembakan ke arah bot milik nelayan Palestin berhampiran pantai di sempadan bandar, Rafah menyebabkan sebuah bot terbakar sebelum karam.
Kira-kira 4,000 nelayan mencari rezeki di Gaza dan separuh daripada mereka kini berada di bawah kadar kemiskinan.
Israel sebelum ini menetapkan had kira-kira tiga batu nautika untuk tujuan memancing di perairan pantai Gaza.
Di bawah perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara kedua-dua wilayah pada Ogos tahun lalu, Tel Aviv bersetuju untuk memperluaskan zon nelayan di pantai Gaza dan membolehkan nelayan meneruskan aktiviti menangkap ikan sehingga enam batu nautika dari kawasan pantai.
Persetujuan tersebut juga menetapkan Israel akan memperluaskan kawasan sehingga 12 batu nautika.
Nelayan Palestin sebelum ini memaklumkan Tentera Laut Israel sering melepaskan tembakan ke arah mereka semasa di kawasan yang telah dipersetujui.
Sejak dua tahun lalu, tentera Israel telah melancarkan kira-kira 150 serangan ke arah bot milik nelayan Palestin dan menahan ramai nelayan serta merampas bot mereka.