Thursday 6 June 2013

AS dedah maklumat rahsia Israel

AS dedah maklumat rahsia Israel
Sistem peluru berpandu Patriot dan Arrow (kanan) yang ditempatkan di pangkalan tentera Israel.
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) secara tidak sengaja mendedahkan maklumat rahsia berhubung pembinaan pusat kemudahan tentera Israel yang akan menempatkan peluru berpandu Arrow 3.

Menurut laporan Press TV, pendedahan itu didakwa turut mencetuskan kemarahan rejim Zionis kerana mereka menganggap kononnya ia memberi kelebihan kepada musuh untuk mengatur strategi bagi melancarkan serangan ke atas pusat kemudahan tersebut.

Lebih 1,000 halaman mengandungi maklumat keseluruhan mengenai projek itu didedahkan kepada umum semasa AS menerbitkan tender bangunan untuk projek bernilai AS$25 juta (RM77 juta) tersebut.

Ia akan dibina di Tel Shahar, sebuah pangkalan yang terletak antara Baitulmaqdis dan Ashdod, namun lokasi sebenar kedudukannya tidak pernah disahkan secara rasmi.

Difahamkan, Arrow 3 mempunyai keupayaan untuk memintas peluru berpandu pada jarak 2,500 kilometer dan ia dijadualkan beroperasi pada 2015 atau 2016.