TEBING BARAT - PALESTIN. Kira-kira 5,000 penduduk Palestin berkumpul di Kafr Kanna kelmarin bagi mengutuk keputusan mati ke atas bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi.

Penunjuk perasaan turut melaungkan slogan mengecam pemerintahan Abdel Fattah al-Sisi.

Pada 16 Mei lalu, Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursi dan 105 ahli Ikhwanul Muslimin selepas disabit bersalah melarikan diri dari penjara dan membunuh anggota keselamatan pada 2011.

Menurut Press TV, keputusan itu turut mendapat kecaman antarabangsa termasuk badan hak asasi manusia, Amnesty International dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Keputusan akhir akan diumumkan 2 Jun depan selepas keputusan itu dirujuk kepada Mufti Besar untuk disemak semula.