GAZA CITY 5 Mei - Tentera Israel membedil sebuah pangkalan pergerakan Hamas di Gaza semalam selepas mendakwa serangan itu sebagai tindak balas kepada tembakan mortar yang ditujukan kepada pasukan berkenaan.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, satu bedilan mortar menjadikan pasukan itu sebagai sasaran semasa mereka sedang melakukan aktiviti bersebelahan pagar keselamatan di selatan Genting Gaza.
"Sebuah kereta kebal bertindak balas dan membedil ke arah ancaman itu," kata kenyataan itu.
Sumber Hamas mengesahkan serangan Israel itu namun menafikan berlaku tembakan mortar.
Tambahnya, dua bedilan mengenai pangkalan Hamas yang mengakibatkan kerosakan namun tanpa melibatkan sebarang kematian. - AFP