RAMALLAH - PALESTIN. Seorang tahanan Palestin yang nekad mogok lapar selama lebih 40 hari berikrar untuk terus membantah penahanan pentadbiran yang diamalkan pihak berkuasa Israel walaupun keadaannya semakin kritikal.

Menurut laporan Press TV, Ketua Peguam Persatuan Tahanan Palestin, Jawad Bulous memaklumkan mesej tersebut disampaikan oleh Khader Adnan, 37, yang kini sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Assaf Harofeh.

"Bapa kepada enam anak itu dikenakan hukuman penahanan pentadbiran untuk kali ke-10 selepas dia ditahan pada 8 Julai tahun lalu.

"Keadaan kesihatan Khader kini berada pada tahap membimbangkan akibat kehilangan berat badan selain mengalami masalah denyutan jantung tidak normal," kata Jawad.

Menurutnya lagi, sehingga kini pihak berkuasa Israel langsung tidak mengambil sebarang langkah untuk membincangkan kes tersebut.

Difahamkan, seramai tiga lagi tahanan Palestin turut mogok lapar sebagai membantah penahanan pentadbiran yang dikenakan tanpa sebarang perbicaraan adil.