BRUSSELS - BELGIUM. Kesatuan Eropah (EU) mengutuk keras rancangan Israel memaksa rakyat Palestin yang tinggal di kampung Susya berhampiran bandar Hebron di Tebing Barat untuk berpindah dan menggesa rejim supaya tidak memusnahkan kawasan itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat menteri luar EU kelmarin, 28 negara menggesa pihak berkuasa Israel untuk menghentikan rancangan memaksa penduduk berpindah, dan merobohkan infrastruktur serta perumahan Palestin di Susya dan Abu Nawar.

Difahamkan, rancangan kejam itu dibuat selepas Mahkamah Agung Israel memutuskan pada bulan lalu bahawa pihak berkuasa berhak merobohkan perumahan penduduk Palestin di Susya, kerana mendakwa ia dibina tanpa kebenaran. 

Tel Aviv turut dilaporkan merancang menempatkan semula penduduk Susya di bandar berhampiran Yatta di al-Khalil. - AP