Menurut laporan oleh gabungan NGO itu, kebanyakan wang bantuan masih disekat dan pembangunan semula Genting Gaza yang terjejas teruk akibat serangan Israel tahun lalu dilihat berlangsung agak perlahan.
Gabungan NGO itu terdiri daripada Persatuan Agensi-Agensi Pembangunan Antarabangsa (AIDA), CARE International, Oxfam, Save the Children, dan Majlis Pelarian Norway.
Malah laporan NGO itu turut mengecam masyarakat antarabangsa kerana gagal menamatkan kepungan di wilayah Palestin oleh rejim Zionis terutamanya bagi mengaturkan satu gencatan senjata berpanjangan dengan Israel.
“Sekiranya kita tidak menangani isu-isu utama ini, situasi di Gaza hanya akan terus buruk.
“Tanpa kestabilan ekonomi, sosial, dan politik, konflik di wilayah itu akan berulang dan kitaran kerosakan dan penderma yang membiayai semula pembangunan semula di Gaza tidak dapat dielakkan,’’ kata laporan gabungan iwtu.
Laporan itu dibuat enam bulan selepas peserta dalam persidangan negara penderma di Kaherah berikrar untuk memberi bantuan sebanyak AS$5.4 bilion (RM20 bilion) untuk Gaza, yang musnah akibat serangan Israel 50 hari yang mengorbankan 2,200 penduduk Palestin.
“Enam bulan kemudian, pembangunan dan pemulihan semula Gaza hampir tidak bermula.
“Penderma perlu jelas tentang janji yang dibuat dalam persidangan di Kaherah itu dan terus bergerak bagi membantu pembinaan semula dan projek pemulihan Gaza,’’ jelas laporan itu.
Menurut laporan itu, serangan Israel mengakibatkan sebanyak 12,400 buah rumah musnah dan lebih 160,000 rumah rosak. – AFP