Friday 10 October 2014

Kabinet perpaduan di Gaza


GAZA CITY 9 Okt. - Barisan kepimpinan baharu kerajaan perpaduan Palestin mengadakan mesyuarat Kabinet yang pertama di Genting Gaza, hari ini, sekali gus menandakan tamatnya pemerintahan pergerakan Hamas di wilayah ini.
Menurut jurucakap kerajaan, seramai 12 Menteri Kabinet akan dibawa ke lokasi yang musnah akibat serangan Israel selama lebih 50 hari, sebelum mereka memulakan mesyuarat bagi membincangkan usaha mendapatkan bantuan bagi membangunkan semula wilayah tersebut.
Kerajaan perpaduan Palestin di Gaza dibentuk empat bulan lalu bagi menggantikan pemerintahan Hamas di Gaza dan Fatah di Tebing Barat, tetapi pentadbiran baharu itu masih belum beroperasi ekoran perselisihan berlarutan antara kedua-dua pergerakan terbabit. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141010/lu_08/Kabinet-perpaduan-di-Gaza#ixzz3Fh6ztX9B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Israel perlu bantu bangun Gaza


Penduduk Palestin mencari barangan penting di kawasan perumahan dan bangunan yang musnah akibat serangan tentera Israel di Genting Gaza, baru-baru ini. - AFP
WASHINGTON 9 Okt. - Israel perlu memainkan peranan penting bagi membangunkan semula Genting Gaza, tegas seorang pegawai tinggi AS, Jen Psaki, hari ini menjelang rundingan membibcangkan bantuan utama kepada Gaza, di sini yang turut menekankan tentang perlunya semua pihak terbabit melaksanakan gencatan senjata berkekalan.
Setiausaha AS, John Kerry akan menghadiri persidangan bagi membincangkan pembangunan semula Gaza itu, Ahad ini yang dianjurkan dengan kerjasama Mesir dan Norway dan dikendalikan oleh AS, sebagai 'bantuan kemanusiaan dan usaha pembangunan semula' selepas tamatnya serangan Israel ke atas Gaza selama 50 hari yang berakhir Ogos lalu.
Kerajaan Palestin mengumumkan rancangan pembangunan semula Gaza, setebal 76 muka surat dan memohon dana berjumlah AS$4 bilion(RM13 juta) untuk kos membangunkan semula wilayah Palestin itu.
Daripada bantuan tersebut, kira-kira 100,000 buah rumah akan dibina semula untuk penduduk Palestin yang hilang tempat berlindung akibat serangan Israel.
Dalam serangan Israel itu hampir 2,200 penduduk Palestin terkorban dan kira-kira 73 tentera Israel terbunuh.
Keganasan Israel itu berakhir dengan gencatan senjata sementara dan rundingan tidak langsung untuk melaksanakan gencatan senjata kekal itu dijangka disambung di bawah pengantaraan Mesir, akhir bulan ini.
Sebelum ini, Washington berjanji untuk menyalurkan bantuan berjumlah AS$118 juta (RM385.8 juta) bagi membantu penduduk Palestin di Gaza, dan Psaki menjangkakan banyak negara dan masyarakat antarabangsa akan menyumbang kepada dana tersebut dalam rundingan di Kaherah, nanti. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141010/lu_04/Israel-perlu-bantu-bangun-Gaza#ixzz3Fh5PduLH
© Utusan Melayu (M) Bhd