Friday, 27 December 2013
Israel umum bebaskan tahanan Palestin, bina lebih banyak penempatan
2013/12/27
BAITULMAQDIS: Israel akan mengumumkan rancangan pembinaan penempatan baru minggu depan, serentak dengan pembebasan kelompok ketiga tahanan warga Palestin sebagai sebahagian daripada rundingan damai, kata pegawai tempatan, semalam.
“Kerajaan Israel akan mengumumkan tender untuk pembinaan baru di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis, yang dianggap bertepatan dengan pembebasan kumpulan ketiga tahanan Palestin, kata pegawai itu.
Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan pembinaan walaupun mendapat bantahan daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Kesatuan Eropah. - AFP
Israel berdegil
Baitulmaqdis: Israel dijangka mengumumkan rancangan baru untuk membina penempatan Yahudi minggu depan meskipun ia akan membangkitkan kemarahan dan mengancam rundingan damai dengan Palestin.
Pengumuman itu akan dibuat sempena dengan pembebasan sekumpulan rakyat Palestin.
Seorang pegawai rejim berkata, pengumuman mungkin dibuat minggu depan, tetapi enggan menjelaskan mengenainya secara terperinci.
Pegawai Palestin Wasil Abu Yousif berkata, pengumuman yang dirancang itu membuktikan Israel tidak serius untuk mewujudkan keamanan.
“Semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa rejim Israel berhasrat memusnahkan proses damai,” kata Wasil.
Beliau tidak menyatakan sama ada pihak berkuasa Palestin akan menarik diri daripada rundingan damai.
Bagaimanapun, menurut Wasil, dasar Israel itu akan memaksa rakyat Palestin mencari lebih banyak alternatif untuk memaksa Israel bersetuju mewujudkan keamanan.
Pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis menjadi punca yang mencetuskan kepada ketegangan hingga menjejaskan usaha damai Asia Barat. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27
Hari Ini Dalam Sejarah | 27 Disember 2008 | Memperingati Marakat Furqan (Cast Lead)
27 Disember 2008 merupakan detik mula mata masyarakat dunia terbuka seluas-luasnya apabila menyaksikan rejim Zionis Israel meratah nyawa rakyat Palestin tanpa mengira had umur. Serangan yang berpanjangan selama 22 hari itu disifatkan antara serangan paling kejam dan ganas ke atas Jalur Gaza.
Dalam serangan yang digelar sebagai Operation Cast Lead oleh regim Zionis Israel atau Marakat Furqan oleh mujahidin di Gaza, lebih 1,400 orang awam Palestin terkorban termasuk lebih 300 kanak-kanak dan remaja berumur bawah 18 tahun. Lebih 5,000 rakyat Palestin cedera, 3,540 rumah runtuh dan sekitar 2,870 lagi rumah rosak teruk.
Serangan juga telah memusnahkan banyak infrastruktur awam Gaza yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina dek sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Gaza sejak HAMAS memenangi pilihanraya umum pada 2006. Lebih 18 sekolah, 268 pusat perniagaan, 324 kilang dan bengkel musnah yang mengakibatkan kerugian puluhan juta US dollar.
Serangan ini tercetus di celah-celah perjanjian gencatan senjata yang baru sahaja ditandatangani antara HAMAS dan rejim Israel pada bulan Jun 2008. Gencatan senjata ini dicemari pada bulan November 2008 bilamana tentera Israel menyerang Gaza dan membunuh 6 anggota HAMAS. Serangan ini diikuti dengan siri-siri serangan yang akhirnya menjadi operasi besar-besaran, Operation Cast Lead.
Hakikatnya, rejim Zionis Israel sebenarnya sudah lama merancang operasi ini. Menurut Barak Ravid, wartawan Haaretz (sebuah akhbar utama Israel), Menteri Pertahanan rejim Israel ketika itu, Ehud Barak telah mengarahkan persiapan untuk Operation Cast Lead sejak lebih 6 bulan sebelum itu ie. sewaktu rundingan gencatan senjata antara Israel dan HAMAS sedang berlangsung!
Ur Shlonsky, seorang professor linguistik di Universiti Geneva, Switzerland menyebutkan bahawa objektif Israel adalah untuk "menyerang masyarakat awam dan memastikan kemusnahan maksima ke atas infrastruktur awam. Kehidupan seharian rakyat Palestin mesti ditekan sehingga mereka tidak lagi mampu bertahan; mereka dikurung, dihalang dari melaksanakan aktiviti harian, bekerja, bersekolah dan mendapatkan bantuan kesihatan dari hospital. Ini akan menggalakkan perpindahan keluar dari Palestin dan melemahkan semangat mereka untuk menentang serangan-serangan Israel yang akan datang."
Pada September 2009, setelah didesak masyarakat sivil antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membentangkan 'Laporan Goldstone' yang memperincikan sekurang-kurangnya 36 jenayah perang yang dilakukan oleh Israel dalam Operation Cast Lead, termasuk pembedilan rumah-rumah masyarakat awam seperti keluarga Samouni dan Al-Daya dan penggunaan fosforus, senjata kimia yang haram digunakan semasa perang di kawasan penempatan. Namun, laporan itu tidak sedikit pun mengubah pendirian kuasa-kuasa besar dunia yang terus menyokong rejim Zionis Israel. Israel tidak dijatuhkan hukuman sedikit pun atas jenayah-jenayah perang yang telah mereka lakukan dalam operasi ini.
Maka, benarlah pendirian HAMAS selama ini. Rundingan tidak akan membawa perjuangan pembebasan Palestin ke mana-mana. Zionis Israel tidak pernah ingin menghormati persetujuan dalam rundingan yang dibuat. Apabila mereka berjanji, mereka akan mengkhianati. Justeru, hanya jalan jihad dan penentangan akan mampu menundukkan rejim Israel.
“From the river to the sea, Palestine will be free!”
#pace
[KJ]
Budak tiga tahun mangsa baharu keganasan Israel
BAITULMAQDIS 25 Dis. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terkorban, manakala 10 yang lain cedera dalam satu serangan balas udara tentera Israel semalam selepas seorang rakyatnya maut ditembak penyerang hendap semasa bertugas di sempadan Gaza-Israel di sini.
Kanak-kanak itu dikenali sebagai Hala Abu Sabikha dari sebuah kem pelarian di tengah Genting Gaza.
Pegawai Kementerian Kesihatan Hamas, Ashraf al-Kidra berkata, tiga ahli keluarga kanak-kanak itu merupakan antara 10 yang tercedera akibat serangan berkenaan.
Serangan udara itu disifatkan sebagai yang terburuk sejak November tahun lalu dan mengancam perjanjian genjatan senjata kedua-kedua pihak yang telah dilaksanakan sejak 13 bulan itu.
Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon menggesa Hamas untuk tidak mencabar kesabaran Israel dengan memperlihatkan kuasa mereka.
Menurut laporan tentera Israel, serangan yang dilakukan itu menghala ke arah kawasan pejuang di Gaza termasuk sebuah kilang senjata dan mesin pelancar roket yang disembunyikan.
Sementara itu, pegawai keselamatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 16 serangan dilancarkan tentera Israel yang menyebabkan satu siri letupan dalam wilayah berkenaan.
Dalam pada itu, Hamas telah mengarahkan tenteranya untuk mengosongkan bangunan kerajaan serta mengatur semula kedudukan di kawasan yang lebih selamat.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri mengecam tindakan itu yang disifatkan sebagai serangan pengecut tentera Israel.
"Tentera Israel itu tidak mampu menakut-nakutkan rakyat Palestin dalam serangan terbabit. Mereka tidak akan melemahkan tentangan kami atau menghentikan tindak balas terhadap sebarang serangan mereka di Gaza,'' katanya. - AP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131226/lu_07/Budak-tiga-tahun-mangsa-baharu-keganasan-Israel#ixzz2ocasfgV9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Rusia sangkal Arafat diracun
MOSCOW - Satu siasatan Rusia berhubung kematian Yasser Arafat gagal menemui racun radioaktif yang didakwa membunuh pemimpin Palestin tersebut, kata ketua sebuah agensi kerajaan yang melakukan kajian itu semalam.
Ketua Agensi Perubatan dan Biologi Persekutuan, Vladimir Uiba berkata, pihaknya tiada perancangan untuk melakukan ujian lebih lanjut.
"Kematian Arafat adalah secara semula jadi, tiada kesan radiasi yang ditemui," kata Uiba menurut beberapa agensi berita Rusia.
Beberapa pasukan saintis dari Perancis, Switzerland dan Rusia diminta mengenal pasti sama ada racun polonium menjadi punca kematian Arafat di sebuah hospital tentera di Perancis pada tahun 2004.
Penduduk Palestin sudah lama mengesyaki Arafat diracun oleh Israel tetapi dinafikan oleh rejim Zionis.
Dalam pada itu, Rusia mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa Palestin sejak era negara Kesatuan Soviet apabila Moscow menyokong perjuangan mereka.
Selepas satu laporan pada 2012 bahawa terdapat kesan bahan radioaktif polonium ditemui pada pakaian Arafat, balunya Suha Arafat mengemukakan aduan rasmi di Perancis supaya satu siasatan dilakukan untuk menentukan sama ada Arafat dibunuh.
Sementara itu, pasukan saintis Switzerland menyatakan, mereka menemui kesan polonium dan plumbun manakala keadaan kesihatan Arafat dan kematiannya selaras dengan kesan keracunan akibat meminum polonium.
Mengulas keputusan pasukan pakar Rusia itu, Duta Palestin ke Moscow, Fayed Mustafa dipetik sebagai berkata oleh agensi berita RIA Novosti bahawa Pihak Berkuasa Palestin menghormati keputusan mereka.
Namun, pihaknya beranggapan adalah perlu supaya kajian berhubung kematian Arafat diteruskan. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2ocPsGW9x
Hakcipta terpelihara
Subscribe to:
Posts (Atom)