Friday, 27 December 2013

Budak tiga tahun mangsa baharu keganasan Israel


BAITULMAQDIS 25 Dis. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terkorban, manakala 10 yang lain cedera dalam satu serangan balas udara tentera Israel semalam selepas seorang rakyatnya maut ditembak penyerang hendap semasa bertugas di sempadan Gaza-Israel di sini.
Kanak-kanak itu dikenali sebagai Hala Abu Sabikha dari sebuah kem pelarian di tengah Genting Gaza.
Pegawai Kementerian Kesihatan Hamas, Ashraf al-Kidra berkata, tiga ahli keluarga kanak-kanak itu merupakan antara 10 yang tercedera akibat serangan berkenaan.
Serangan udara itu disifatkan sebagai yang terburuk sejak November tahun lalu dan mengancam perjanjian genjatan senjata kedua-kedua pihak yang telah dilaksanakan sejak 13 bulan itu.
Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon menggesa Hamas untuk tidak mencabar kesabaran Israel dengan memperlihatkan kuasa mereka.
Menurut laporan tentera Israel, serangan yang dilakukan itu menghala ke arah kawasan pejuang di Gaza termasuk sebuah kilang senjata dan mesin pelancar roket yang disembunyikan.
Sementara itu, pegawai keselamatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 16 serangan dilancarkan tentera Israel yang menyebabkan satu siri letupan dalam wilayah berkenaan.
Dalam pada itu, Hamas telah mengarahkan tenteranya untuk mengosongkan bangunan kerajaan serta mengatur semula kedudukan di kawasan yang lebih selamat.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri mengecam tindakan itu yang disifatkan sebagai serangan pengecut tentera Israel.
"Tentera Israel itu tidak mampu menakut-nakutkan rakyat Palestin dalam serangan terbabit. Mereka tidak akan melemahkan tentangan kami atau menghentikan tindak balas terhadap sebarang serangan mereka di Gaza,'' katanya. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131226/lu_07/Budak-tiga-tahun-mangsa-baharu-keganasan-Israel#ixzz2ocasfgV9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment