Wednesday 5 October 2016

Penduduk Gaza menanti kehadiran Kapal Zaytouna


MOHD. HAZLI HASSAN  |  05 Oktober 2016 7:04 PM


KUALA LUMPUR 5 Okt. - Penduduk Semenanjung Gaza di Palestin kini menanti ketibaan misi sukarelawan wanita Women's Boat To Gaza (WBG) yang menggunakan kapal layar Zaytouna-Olivia di Pelabuhan Gaza ketika Israel menghantar bot-bot tentera bagi menghalang kemasukan kapal layar berkenaan.
Pengarah Media Aman Palestin Gaza, Hamza Deirawi yang dihubungi Utusan Online berkata, ramai penduduk tidak kira umur kini memenuhi Pelabuhan Gaza yang terletak di daerah Rimal, Gaza City bagi meraikan kehadiran WBG yang menggunakan kapal Zaytouna-Olivia.
Walaupun tahu tentera Zionis Israel sedang mengerahkan bot-bot perang mereka bagi menghalang kemasukan kapal layar WBG itu, penduduk Gaza tidak menghiraukannya.
"Kami amat mengharapkan agar kapal layar Zaytouna-Olivia berjaya memasuki Gaza tanpa ada sebarang masalah kerana hanya dalam 10 jam lagi mereka akan tiba ke sini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Misi WBG yang juga merupakan Anggota Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr. Fauziah Mohd. Hasan yang menguhubungi Pusat Krisis WBG berkata, kedudukan terkini Zaytouna-Olivia sudah melepasi garisan 60 batu nautika ke arah pantai Gaza pada pukul 12.00 tengahari waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia).
"Kesemua anggota misi dalam keadaan baik. Mereka sedang memasak untuk hidangan tengahari dengan tenang," katanya. - UTUSAN MALAYSIA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-gaza-menanti-kehadiran-kapal-zaytouna-1.391022#sthash.1xN2PJD8.dpuf