Tuesday, 25 October 2016

Amaran Menteri Pertahanan Israel


25 OKTOBER 2016
Amaran Menteri Pertahanan Israel


Amaran Menteri Pertahanan Israel Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman (tengah), sedang bercakap dengan Ketua Tentera Israel, Gadi Eizenkot. - Foto AFP
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman memberi amaran, bahawa perang yang seterusnya dengan pejuang Gaza akan menjadi yang terakhir.

Menerusi temubualnya bersama akhbar Palestin Isnin (semalam), Lieberman dipetik sebagai berkata, pihaknya 'akan memusnahkan mereka sepenuhnya' sekiranya perang baharu tercetus.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak berhasrat memulakan perang baharu di Gaza, yang keempat sejak 2008.

"Sebagai Menteri Pertahanan, saya mahu menjelaskan kami tidak berhasrat memulakan perang baharu terhadap jiran kami di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat, Lubnan atau Syria.

"Namun di Gaza, seperti Iran, mereka berhasrat memusnahkan Israel. Jika memulakan perang dengan Israel, ia akan menjadi yang terakhir buat mereka. Saya tegaskan sekali lagi: Ia menjadi yang terakhir kerana kami akan memusnahkan mereka sepenuhnya," katanya kepada akhbar Al-Quds lapor AFP.

Ironinya, pada hari yang sama beliau mengeluarkan kenyataan itu, tentera Israel telah melancarkan serangan udara terhadap Palestin yang mensasarkan pejuang Hamas.

Dalam serangan itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Lieberman sememangnya terkenal dengan sikapnya yang menentang secara terbuka penubuhan negara merdeka Palestin.