Berdasarkan laporan rangkaian berita Al-Jazeera, kerajaan Palestin berharap PBB akan lebih bersimpati dengan resolusi tersebut yang turut menuntut pe­ngunduran Israel dari wilayah yang dijajah sejak 1967 selain mencapai kemerdekaan menjelang 2017.
Menurut Mahmoud, usaha Pa­lestin sebenarnya tidak gagal, tetapi Majlis Keselamatan PBB yang menggagalkan langkah tersebut apabila sekutu kuat rejim Zionis, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk menentang resolusi berkenaan pada 30 Di­sember lalu.
“Kita akan mengemukakan semula resolusi itu kepada Majlis Ke­selamatan PBB sekurang-kurangnya selepas seminggu.
“Kami juga akan menilai semula perkara ini dan berbincang dengan semua sekutu Palestin terutama­nya Jordan bagi meneruskan perancangan tidak kira berapa kali kami perlu mengemukakan resolusi itu,” katanya.
Ketika undian resolusi Majlis Keselamatan PBB pada hujung bulan lalu, Palestin meraih lapan sokongan termasuk Perancis, Rusia dan China manakala dua negara barat, AS dan Australia memilih untuk menentang usul berkenaan.
Palestin kemudian menanda­tangani 20 perjanjian konven­syen antarabangsa termasuk Mah­­kamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mendatangkan kemarahan di pihak Israel apabila rejim Zionis membekukan dana cukai seba­nyak AS$127 juta (RM446.6 juta) yang merupakan milik kerajaan Mahmoud.