Saturday 8 March 2014

Presiden Palestin enggan iktiraf Israel


Gaza: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata beliau tidak akan mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi dan tidak akan menerima ibu negara Palestin di dalam wilayah Israel.

Kenyataan pemimpin Palestin itu menggambarkan jurang antara beliau dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu masih luas selepas rundingan tujuh bulan yang diusahakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.


Kenyataan Mahmoud itu disiarkan agensi berita Palestin, WAFA semalam.

Ketika bercakap kepada aktivis belia parti Fatah, Mahmoud berkata, beliau tidak akan berganjak daripada pendiriannya menolak tekanan antarabangsa supaya rakyat Palestin mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi.


“Mereka mendesak dengan mengatakan “keamanan tak mungkin tercapai tanpa negara Yahudi”. Itu mustahil dan kami tak akan terima.” katanya.


Netanyahu sebelum ini berkata, pengiktirafan itu perlu sebagai bukti rakyat Palestin benar serius untuk berdamai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/08