Friday, 20 June 2014

Bertempur di Jenin


Baitulmaqdis: Tentera Israel bertempur dengan penduduk Palestin awal semalam ketika askar Zionis itu melancarkan serbuan dalam operasi menjejaki tiga remaja Yahudi yang dipercayai diculik di Tebing Barat.

Ia keganasan terburuk sejak usaha mencari remaja itu dilancarkan seminggu lalu.

Israel yang mendakwa kumpulan Hamas terbabit dalam penculikan itu walaupun tidak mempunyai bukti bertindak menangkap sejumlah besar anggota pergerakan berkenaan sambil melancarkan operasi mencari itu.

Hamas walaupun memuji penculikan remaja berkenaan, tidak mengaku bertanggungjawab.

Ketiga-tiga mereka - Eyal Yifrah, 19, Gilad Shaar, 16, dan Naftali Fraenkel, 16, yang juga mempunyai kerakyatan Amerika - hilang Khamis lalu ketika dalam perjalanan pulang dari kuil Yahudi di Tebing Barat.

Tentera Israel berkata, dalam kejadian semalam, kira-kira 300 penduduk Palestin berhimpun di jalan raya apabila mereka memasuki Jenin kira-kira jam 2 pagi.

Ada yang melepaskan tembakan sementara yang lain melontar batu dan bahan letupan.



Askar Zionis itu bertindak balas dengan melepaskan tembakan.

Seramai 30 penduduk ditahan selepas kejadian itu.

Pengarah hospital di Jenin, Nadir Irshaid berkata, tujuh orang dirawat kerana cedera ringan akibat tembakan dan dipukul.

Sejak operasi mengesan tiga remaja itu bermula, kira-kira 280 rakyat Palestin ditahan, termasuk 200 anggota Hamas.

Pihak berkuasa Israel berkata, mereka sudah mencari di hampir 100 kawasan dan menyerbu institusi yang didakwa digunakan Hamas.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata Hamas perlu ‘membayar harga yang mahal’ kerana kehilangan ketiga-tiga remaja itu.

Sehingga ini, tidak ada tanda menunjukkan mangsa masih hidup.

Tuntutan wang tebusan atau tuntutan lain daripada penculik juga tidak diterima.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

Tentera Zionis, penduduk Palestin bertempur



AP
BEBERAPA askar Israel meronda di bandar Jenin, Tebing Barat semalam.


RAMALLAH, Tebing Barat - Askar-askar Israel berbalas tembakan dengan penduduk Palestin semalam, kata tentera rejim Zionis.
Ia merupakan pertempuran di jalanan paling sengit di Tebing Barat sejak tentera Yahudi memulakan operasi mencari tiga remaja Israel yang hilang seminggu lalu.
Beberapa pegawai hospital berkata, tiga penduduk Palestin cedera terkena tembakan dalam pertempuran di Jenin yang merupakan kubu kuat pejuang Palestin.
Setakat ini, belum ada laporan mengenai kecederaan di pihak Israel.
"Kira-kira 300 penduduk Palestin dengan sebahagian mereka membaling bahan letupan dan melepaskan tembakan ketika tentera askar-askar Israel memasuki Jenin untuk mencari tiga remaja hilang itu," kata pihak tentera dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, tentera Israel menangkap seramai 30 penduduk Palestin di Tebing Barat sejak semalam dalam operasi mencari tiga remaja Yahudi yang didakwa diculik pergerakan Hamas, kata pihak tentera semalam.
Menurut kenyataan tentera Zionis, tangkapan terbaharu itu menjadikan bilangan penduduk Palestin yang ditahan setakat ini meningkat kepada 280 orang.
Tiga remaja dengan dua daripada mereka di bawah umur hilang dekat penempatan haram Gush Etzion di Tebing Barat pada 12 Jun lalu.
Israel menyalahkan Hamas sebagai bertanggungjawab menculik mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3585GTin9 
Hakcipta terpelihara