Lawatan itu adalah yang kedua bagi pegawai-pegawai dari Tebing Barat ke Gaza selepas lawatan pada Oktober lalu yang diketuai Perdana Menteri, Rami Hamdallah yang diadakan bagi mencapai persetujuan berhubung pembentukan kerajaan perpaduan Palestin.
Bagaimanapun, Rami tidak menyertai lawatan kali ini ke wilayah Palestin yang dihuni kira-kira 1.8 juta penduduk itu, yang masih bergelut untuk pulih selepas ranap dalam serangan Israel.
Jurucakap pegawai-pegawai tertinggi kerajaan perpaduan Palestin itu, Ihab Bsaiso berkata, menteri-menteri itu akan membincangkan pelbagai isu termasuk masalah bekalan elektrik dan pembinaan pasca perang, dengan kerajaan baharu itu dijangka mengadakan mesyuarat di kedua-dua kawasan di Gaza dan Tebing Barat.
Namun, kedua-dua pihak dijangka tidak dapat bersetuju tentang beberapa isu serius termasuk lintasan sempadan, pembayaran gaji kepada kakitangan Hamas dan kawalan berterusan di Gaza oleh pasukan keselamatan Hamas.
Pergerakan Fatah yang merupakan seteru pergerakan Hamas, pada Mei lalu bersetuju membentuk sebuah kerajaan teknokrat yang tidak menyentuh hal politik.
Namun, kerajaan itu masih belum berfungsi dengan sempurna ekoran perbezaan pandangan antara kedua-dua pemimpin pergerakan itu.
Malah, pelan antarabangsa untuk membangunkan semula Gaza, seringkali tergendala ekoran krisis dalaman Palestin yang menghalang kerajaan perpaduan mengawal kawasan sempadan dengan Israel.
Dalam perkembangan berasingan, perwakilan negara-negara Arab di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam meluluskan cadangan Palestin untuk memetrai perjanjian damai dengan Israel dalam tempoh setahun dan menamatkan penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin pada penghujung 2017.
Duta Jordan ke PBB, Dina Kuwar, wakil tunggal negara-negara Arab pada perhimpunan itu berkata, kesemua 22 delegasi Arab meluluskan cadangan Palestin itu dengan Jordan dan Palestin akan segera membincangkan `masa yang terbaik’ untuk mengemukakan cadangan itu di Majlis Keselamatan PBB. – AP/REUTERS