Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam kenyataannya berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Luarnya untuk mengemukakan aduan kepada ICC di The Hague, bagi menuntut keadilan sepenuhnya.
Jelas beliau, kejadian itu berlaku disebabkan tindakan rejim Zionis menggalakkan pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin, sekali gus memberi ‘lampu hijau’ kepada mereka untuk menyerang penduduk Palestin di Tebing Barat.
“Kami mahukan keadilan bagi keluarga mangsa, tetapi saya meragui Israel bersedia mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Insiden ini merupakan jenayah perang dan satu tragedi buat semua penduduk Palestin,” kata beliau seperti dilaporkan rangkaian berita Al Jazeera.
Jumaat lalu, Ali Saad Dawabsheh, 18 bulan, terbunuh apabila rumahnya dibakar oleh pendatang haram Yahudi, sementara abangnya, 4, serta ibu bapanya melecur teruk.
Susulan kejadian itu, ratusan belia Palestin mengadakan tunjuk perasaan dan bertempur dengan pihak keselamatan Israel, menyebabkan seorang remaja maut akibat ditembak dengan peluru hidup.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 120 serangan dilakukan oleh pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin sejak awal tahun ini, tetapi tiada tindakan tegas diambil oleh Israel bagi mengekang kejadian itu.
Berdasarkan laporan pertubuhan hak asasi manusia Israel, Yesh Din, lebih 92.6 peratus aduan oleh penduduk Palestin telah dikemukakan kepada polis Israel, tetapi tiada individu ditahan setakat ini.