Monday, 15 July 2013

Israel dibenci rakyat sendiri



TEL AVIV - ISRAEL. Ribuan penduduk, kelmarin mengadakan tunjuk perasaan sempena ulang tahun ke-2 protes besar-besaran yang membantah kos sara hidup tinggi di Israel.

Menurut laporan Press TV, kebanyakan penunjuk perasaan membantah langkah penjimatan diumumkan kerajaan dan menuntut keadilan sosial berikutan golongan pertengahan semakin tertindas dan menerima kesan akibat dikenakan cukai tinggi.

Aktivis sosial, Daphni Leef berkata, rakyat mulai berang dengan tindakan itu malah muak dengan sikap kerajaan yang hanya mementingkan diri sendiri serta melakukan keganasan berterusan terhadap rakyat Palestin.

Sejak dua tahun lalu, penduduk Israel sering mengadakan protes di Tel Aviv dan bandar lain kerana tidak berpuas hati dengan rancangan ekonomi diumumkan rejim Zionis.

Tel Aviv sebelum ini mendakwa, cukai tinggi itu terpaksa dilaksanakan bagi membantu rakyat Palestin namun rakyat negara itu sedar bahawa dakwaan tersebut hanya sekadar alasan bagi mewujudkan sentimen kebencian terhadap penduduk Palestin.

71,000 pelarian Palestin lari ke Lubnan

71,000 pelarian Palestin lari ke Lubnan
Seramai 435,000 pelarian Palestin mendapatkan perlindungan di 12 kem penempatan sementara di sekitar Lubnan.
BEIRUT - LUBNAN. Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menganggarkan 71,000 pelarian Palestin telah meninggalkan Syria dan mendapatkan perlindungan di Lubnan.

Dipetik laporan OP, UNRWA turut menyatakan kebimbangan terhadap defisit dalam bajet untuk membantu pelarian Palestin kerana mereka hanya menerima AS$25 juta (RM80 juta) dan agensi itu kini sedang berusaha memperoleh AS$65 juta (RM206 juta) untuk memenuhi keperluan golongan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, kebanyakan pelarian Palestin terpaksa berhadapan masalah lebih sukar sejak mereka melarikan diri ke negara terbabit.

"Golongan tersebut berharap keganasan di Syria akan berakhir supaya mereka dapat pulang semula ke negara itu," jelas jurucakap UNRWA.

Difahamkan, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah awal untuk mengehadkan kemasukan pelarian tersebut tetapi sekatan itu dikurangkan dan mereka turut diberikan permit bulanan yang boleh diperbaharui selagi konflik di Syria belum berakhir.