Beberapa buah kren dilihat meng­angkat blok batu setinggi lapan meter bagi melengkapkan pembinaan tembok berdekatan kawasan Beit Jala yang terletak di selatan Baitulmaqdis dan Baitulaham.
Pembinaan tembok itu juga bakal menghalang penduduk Palestin daripada memasuki ladang minyak zaitun.
Datuk Bandar Beit Jala, Nicola Khamis dalam pada itu mengecam pembinaan tembok tersebut yang dilihat sebagai cubaan merampas tanah penduduk Palestin.
Nicola berharap kerajaan Palestin dapat menghalang aktiviti itu diteruskan walaupun beliau me­ngakui rejim Zionis tidak melayan sebarang bantahan berhubung pembinaan tembok tersebut.
“Tanah ini merupakan milik kami dan anak-anak kami,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan AFP.
Bagaimanapun Kementerian Per­­­­tahanan Israel tidak menge­luarkan sebarang komen berhu­bung pembinaan tembok itu.
Penduduk Beit Jala menyuarakan kebimbangan tembok pemisah itu akan meluaskan lagi kawasan penempatan haram Yahudi di Gilo dan Har Gilo.
Israel mula membina tembok pemisah di Tebing Barat sejak 2002 ketika intifada kedua dilancarkan oleh rakyat Palestin bagi menentang kekejaman rejim Zionis.
Tembok itu digelar sebagai “tembok aparteid” yang bertujuan me­rampas tanah penduduk Palestin, sekali gus menjejaskan kedaulatan wilayah tersebut.
Jurucakap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Xavier Abu Eid berkata, tembok itu bakal memusnahkan potensi Baitulaham untuk menjadi sebuah bandar yang maju.
“Rejim Israel terus mengamalkan dasar aparteid di Tebing Barat dengan membina tembok pemisah secara berterusan,” katanya. – AFP