RAMALLAH - PALESTIN. Lebih 20 rakyat Palestin terkorban dan ratusan lagi cedera akibat serangan rejim Zionis di Genting Gaza sejak awal Oktober tahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Menurut laporan agensi berita Palestine al-Yawm, kementerian itu mengumumkan seramai 25 rakyat Palestin terbunuh dan 1,400 yang lain cedera disebabkan tembakan peluru hidup dan keluli bersalut getah sejak 1 Oktober.
Menurutnya, tentera Israel menggunakan peluru hidup serta peluru yang dilarang di peringkat antarabangsa dalam konfrontasi mereka dengan penunjuk perasaan Palestin.
"Lazimnya, rakyat Palestin tidak bersenjata di kawasan pertanian berhampiran pagar sempadan di selatan Gaza sering menjadi sasaran, meskipun mereka tidak membawa sebarang ancaman kepada tentera Israel," menurut akhbar tersebut memetik kenyataan kementerian kesihatan.
Jumaat lalu, Muhammad Abu Zayed, 18, meninggal dunia selepas ditembak di kepala ketika anggota keselamatan Israel melepaskan lima tembakan bagi menyuraikan penunjuk perasaan di kem pelarian Bureji, dekat tengah Genting Gaza, lapor Press TV
.