Wednesday, 1 June 2016

Mahu dakwa isteri Netanyahu


Sara Netanyahu.
TEL AVIV - Polis Israel bercadang untuk mengenakan tuduhan jenayah ke atas isteri Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang disyaki menyalahgunakan dana negara dan perbelanjaan isi rumah yang melambung tinggi.
Kelmarin, jurucakap pihak berkuasa memaklumkan mereka telah merumuskan siasatan ke atas Sara Netanyahu dan mengemukakan laporan tersebut kepada pendakwa raya.
Difahamkan, tuduhan ke atas isteri pemimpin itu melibatkan penyalahgunaan dana bagi menjaga bapanya yang uzur sebelum dia meninggal dunia selain berbelanja besar untuk makanan mewah.  
Bagaimanapun, Netanyahu menafikan dakwaan tersebut melalui Facebook selain turut mempertahankan isterinya. - Press TV

Muslihat Netanyahu?


Lieberman (kiri) bercakap ketika sidang media bersama Netanyahu selepas majlis mengangkat sumpah di Knesset, kelmarin.
TEL AVIV - ISRAEL. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membuat pengumuman mengejutkan dengan menyatakan ia bersedia untuk mengadakan rundingan damai berdasarkan Inisiatif Arab sejurus Avigdor Lieberman mengangkat sumpah sebagai Menteri Pertahanan baharu.
"Saya tetap komited untuk berdamai dengan Palestin dan negara lain di rantau ini. Inisiatif Arab tersebut merangkumi elemen positif yang dapat membantu memulihkan rundingan membina dengan Palestin," katanya.
Bagaimanapun, beberapa pihak melihat ia mungkin muslihat terbaharu Netanyahu selepas Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berjanji untuk memulihkan semula hubungan dengan Tel Aviv jika ia menerima usaha menyambung semula rundingan damai pada minggu lalu.
Pemimpin tersebut turut menyambut baik tawaran al-Sisi untuk memperluaskan keselamatan dan keamanan di rantau terbabit.
Lieberman yang sebelum ini pernah mengkritik Mesir juga bersetuju dengan kenyataan Netanyahu selain mengulangi sokongan parti pimpinannya, Yisrael Beitenu terhadap penyelesaian dua negara itu.   
Pada 2013, Netanyahu menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan inisiatif tersebut selepas syaratnya termasuk pertukaran tanah antara Israel dan Palestin dilonggarkan. - Reuters