PERISTIWA Nakba tidak pernah berakhir, malah ia berterusan. Ia masih belum sampai ke penghujung”. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Issa Amro, Penyelaras Youth Againts Settlements (YAS), sebuah pertubuhan berpusat di Hebron, Tebing Barat yang menyaksikan sendiri kekejaman rejim Zionis pada setiap hari.
Rancangan jahat Israel yang merampas tanah milik penduduk Palestin dengan tujuan untuk menghapuskan identiti mereka telah bermula sejak peristiwa Nakba dan perlanggaran asas tersebut jelas tidak berakhir 68 tahun lalu.
Ia berterusan sehingga hari ini dalam pelbagai bentuk seperti tindakan diskriminasi, rampasan tanah dan air, perobohan rumah penduduk, penahanan pentadbiran, insiden keganasan didalangi pelampau dan projek penempatan haram Yahudi.
Penduduk Palestin diusir
Nakba dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘malapetaka’ menandakan peristiwa yang berlaku pada 1947-49 selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk membahagikan Palestin kepada dua negara, sekali gus menyaksikan pengusiran antara 750,000 dan sejuta penduduk Palestin dari wilayah mereka (kira-kira satu pertiga telah diusir sebelum perang tercetus antara Israel dan negara Arab).
Ketika itu, tentera separa rejim Zionis turut melakukan pembersihan etnik melalui pembunuhan beramai-ramai, memusnahkan perkampungan dan kediaman selain mengusir penduduk Palestin secara berterusan di bawah rancangan jahat untuk menubuhkan negara Israel.
Lebih dua juta hektar tanah milik Palestin dirampas sehingga penubuhan Israel pada 1948.
Selain itu, lebih 400 bandar Palestin dimusnahkan antara 1948 dan 1950.
Kira-kira 150,000 penduduk Palestin yang tinggal di sempadan juga terpaksa menjadi pelarian.
Pada hari ini, penduduk Palestin di Israel mencecah kira-kira 1.6 juta orang, namun mereka diiktiraf hanya sebagai warga kelas kedua.
Golongan itu turut berdepan sekatan lebih 50 undang-undang yang secara langsung dan tidak langsung adalah satu bentuk diskriminasi terhadap mereka.
Beberapa pemerhati melihat ‘benih’ Nakba yang ditanam oleh kerajaan mandatori Britain di Palestin telah membina ‘sangkar besi’ yang menyekat sebarang usaha kepimpinan di wilayah itu untuk memperoleh kemerdekaan hingga kini.
Dasar tersebut diikat di bawah Deklarasi Balfour pada 1917 yang menjanjikan wilayah Palestin untuk penduduk Yahudi dan Tel Aviv menganggap ia  telah memudahkan lagi tuntutan mereka bagi merampas tanah Palestin.
Gerakan bawah tanah rejim Zionis dikatakan memainkan peranan penting dalam melakukan pembersihan etnik melalui pembunuhan beramai-ramai, jenayah rogol dan pengusiran.
Perbuatan jahat terancang itu telah menyebabkan tiga perempat daripada sejuta penduduk Palestin terpaksa menjadi pelarian.
15 Mei, simpan kisah duka
Hari memperingati peristiwa Nakba telah disambut secara rasmi oleh bekas Presiden dan Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat pada 1998.
Tarikh 15 Mei tersebut adalah hari untuk generasi baharu Palestin memperingati bagaimana bencana pada 1947-49 itu memberi impak besar sehingga kini.
Selain itu, ia juga menjadi tanda usaha berterusan Palestin untuk menuntut keadilan dan hak asasi mereka di wilayah terbabit.
Situasi berbeza bagi penduduk Palestin yang tinggal di Tel Aviv, tindakan menyambut Nakba membawa padah kepada mereka kerana bakal berdepan tindakan undang-undang yang serius.
Populasi penduduk Palestin di seluruh dunia kini mencecah hampir 12 juta orang dengan lebih 5.3 juta tinggal di Israel, Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Jutaan lagi turut tinggal di negara Arab dan majoritinya adalah di Jordan, Lubnan dan Syria.
Bagi mereka, Nakba masih segar dalam ingatan sebagai kisah duka dan derita generasi terdahulu yang tidak mungkin akan dilupakan.
Generasi baharu dalam diaspora Palestin terus menyimpan kenangan kesan daripada peristiwa Nakba.
Sehingga kini, penduduk Palestin masih berdepan sekatan haram Israel, peperangan dan penindasan secara berterusan yang jelas menunjukkan 'malapetaka' itu sememangnya tidak pernah berakhir, lapor huffingtonpost.