Dua lintasan sempadan kini berada di bawah kawalan kerajaan perpaduan Palestin.
Dua lintasan sempadan kini berada di bawah kawalan kerajaan
 perpaduan Palestin.
RAMALLAH - PALESTIN. Kerajaan perpaduan Palestin dilaporkan akan mengambil alih kawalan di dua lintasan sempadan yang menghubungkan Genting Gaza bagi memastikan proses penghantaran bahan binaan ke wilayah itu berjalan lancar.

Timbalan Perdana Menteri, Mohamed Mustafa memaklumkan perkiraan logistik telah dibuat untuk menguruskan laluan Kerem Shalom dan Erez.

Difahamkan, pegawai di Ramallah sudah mula memantau penghantaran bahan binaan dan pergerakan keluar dan masuk individu di kedua-dua lintasan itu sejak semalam.

Tindakan itu dibuat selepas Israel sekali lagi melanggar perjanjian bersama Palestin dengan menghalang beberapa trak yang membawa bahan binaan daripada memasuki Gaza, 8 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry mengumumkan Washington bersetuju menyalurkan dana bantuan AS$212 juta (RM691 juta) untuk membaik pulih Genting Gaza dalam satu persidangan di Kaherah.

"Penduduk Palestin memerlukan bantuan segera memandangkan krisis kemanusiaan semakin meruncing di Gaza," katanya dipetik Press TV.

Sebelum ini, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pernah meminta bantuan kewangan berjumlah AS$4 bilion (RM13 bilion) untuk pembinaan semula wilayah itu yang musnah teruk akibat serangan Israel, 8 Julai lalu.