Penduduk Palestin kembali ke Genting Gaza susulan pembukaan sempadan Rafah, kelmarin.
Penduduk Palestin kembali ke Genting Gaza susulan pembukaan sempadan Rafah, kelmarin.
KAHERAH - MESIR . Mesir akhirnya membuka sempadan Rafah untuk pertama kali, kelmarin, selepas ia ditutup pada akhir bulan lalu sebagai langkah mengetatkan kawalan keselamatan di Semenanjung Sinai.

Jurucakap pihak berkuasa memaklumkan, laluan tunggal yang tidak berada di bawah kawalan Israel itu dibuka selama beberapa jam bagi melancarkan lalu lintas dari Mesir ke Genting Gaza.

Sementara itu, Pengarah Lintasan Sempadan, Maher Abu Sabha turut mengesahkan mengenai pembukaan terminal terbabit dan hanya melibatkan pembukaan satu laluan masuk ke Gaza.

"Langkah tersebut seakan tidak membantu menyelesaikan dilema penduduk Palestin yang masih terkandas di wilayah Gaza," katanya.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan lebih 3,500 penduduk Palestin terkandas sejak penutupan laluan tersebut.

Difahamkan, sekatan itu turut menyebabkan ribuan penduduk Gaza mengalami masalah untuk mendapatkan rawatan perubatan dan menyambung pengajian di luar wilayah itu, dipetik dari laporan Al-Arabiya.